Covid-19 Sabah: Hanya turun 20 kes berbanding semalam

Covid-19 Sabah: Hanya turun 20 kes berbanding semalam

Kota Kinabalu: Situasi jangkitan Covid-19 di Sabah tidak banyak berubah dengan hanya penurunan kecil sebanyak 20 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes baharu sebanyak 655 kes hari ini berbanding 675 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata sebanyak 14 daerah mencatat penurunan kes dengan lima daripadanya merekodkan penurunan signifikan iaitu Kinabatangan (-26 kes), Kota Belud (-21 kes), Sandakan (-21 kes), Kota Kinabalu (-20 kes) dan Kota Marudu (-16 kes).

Katanya, sebanyak 12 daerah lagi mencatat peningkatan dengan enam daerah menunjukkan peningkatan agak tinggi iaitu Tuaran (+24 kes), Putatan (+18 kes), Tawau (+15 kes), Pitas (+14 kes), Ranau (+11 kes) dan Penampang (+11 kes).

Hanya Semporna katanya kekal dengan catatan seperti semalam iaitu sebanyak lima kes.

“Saringan kontak rapat dan saringan bergejala terus menjadi penyumbang utama kes baharu di setiap daerah. Pada hari ini, 52.82 peratus daripada jumlah keseluruhan berpunca daripada saringan kontak rapat dan 40.61 peratus lagi berpunca daripada saringan bergejala.

“Sebanyak 418 kes atau 63.82 peratus daripada jumlah kes hari ini adalah kes yang berlaku dan didaftar dalam tempoh 24 jam yang lalu. Sejumlah 237 kes lagi atau 36.18 peratus adalah kes lewat daftar antara dua hingga tujuh hari,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Masidi berkata kes jangkitan yang dianggap serius kekal rendah dengan hanya dua kes dalam Kategori 3, Kategori 4 (satu kes) dan Kategori 5 juga satu kes.

Katanya, kebanyakan kes jangkitan adalah dalam Kategori 2, iaitu 568 orang (86.72 peratus) dan Kategori 1 seramai 79 orang (12.06 peratus).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|