Bot ditahan bawa lebih penumpang

Bot ditahan bawa lebih penumpang

Tawau: Sebuah bot ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dikesan membawa penumpang secara berlebihan dan melanggar prosedur operasi standard(SOP) Pelan Pemulihan Negara(PPN), semalam.

Dalam operasi jam 11.50 pagi itu, bot berkenaan dikesan bergerak dari Jeti CIQ Tawau menuju ke Pulau Sebatik ketika operasi rondaan Op Sejahtera dan Op Cegah PATI Selatan COVID-19.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, sebaik dikesan, bot penumpang berkenaan terus ditahan untuk pemeriksaan.

Katanya, pemeriksaan mendapati bot berkenaan berdaftar dan membawa penumpang melebihi kapasiti yang dibenarkan.

“Bot dikendalikan juragan warga tempatan berusia 29 tahun itu membawa seramai 33 penumpang termasuk empat kanak-kanak serta mengabaikan SOP PPN yang masih lagi berkuatkuasa.

“Bot serta juragan terbabit kemudiannya diiring masuk ke jeti Maritim Malaysia Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Siva Kumar berkata, kes berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) dan disiasat mengikut Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002 kerana melanggar syarat sah lesen.

Katanya, kes turut dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana melanggar SOP PPN.

“Orang ramai boleh membuat aduan kecemasan dan menyalurkan maklumat jenayah di perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752115 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|