Kota Kinabalu: Kehadiran perayaan Deepavali dalam situasi pandemik Covid-19 tetap disambut dengan penuh kesyukuran.
Sambutan penganut agama hindu itu tetap meriah walaupun hanya mampu disambut bersama keluarga serta rakan-rakan rapat.
Pesta cahaya itu disambut di Kuil Sri Pasupathinath Alayam seawal jam 6.30 pagi untuk menunaikan upacara sembahyang sempena Deepavali.
Salah seorang pengunjung kuil, Selvie Puspah, 40, berkata, sambutan Deepavali tahun ini lebih meriah berbanding tahun lalu selepas banyak aktiviti dibuka semula.
Stella (kanan) dan anaknya ketika menghadiri upacara sembahyang sempena Deepavali di Kuil Sri Pasupathinath Alayam Bukit Padang, hari ini.
“Kita bersyukur kerana prosedur operasi standard (SOP) diberi kelonggaran terutama ketika musim perayaan seperti Deepavali.
“Kita boleh datang ke kuil bersama keluarga selain menziarah sanak saudara serta rakan-rakan rapat,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Selvie berkata, anak-anak juga pastinya paling gembira kerana dapat menyambut perayaan hari ini.
Semua pengunjung Kuil Sri Pasupathinath Alayam Bukit Padang mematuhi semua SOP ditetapkan
ketika upacara sembahyang sempena Deepavali.
Katanya, mereka bangun awal semata-mata mahu mengikutnya menunaikan sembahyang di kuil ini.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung kuil , Stella Ku, 38, berkata, tahun ini adalah kali kedua dia menyambut Deepavali.
Katanya, walaupun baru dua tahun menganut agama Hindu namun dia tidak berasa kekok untuk mempelajari dan mengamalkan semua amalan agama berkenaan.
“Saya seorang sahaja beragama Hindu dalam keluarga manakala suami dan anak masih menganut agama Budha.
“Tetapi kami tetap menyambut semua perayaan dan menghormati antara satu sama lain,” katanya hadir ke kuil ditemani anak perempuannya.
-Deasoka