JHEAINS buka semula kaunter urusan nikah, cerai dan rujuk

JHEAINS buka semula kaunter urusan nikah, cerai dan rujuk

Kota Kinabalu: Kaunter perkhidmatan urusan nikah, cerai dan rujuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dibuka semula selaras peralihan Sabah ke Fasa 4, Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 8 November lalu.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, berkata kaunter perkhidmatan terbabit kini beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat mengikut masa yang ditetapkan.

“Kaunter dibuka bermula jam 8.30 pagi hingga 2 petang pada Isnin hingga Khamis manakala pada Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 11.30 pagi.

“Kehadiran pelanggan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan iaitu lengkap vaksin Covid-19, memakai pelitup muka dan sentiasa memastikan penjarakan fizikal.

“Waktu operasi adalah berbeza berbanding sebelum ini yang mana kaunter perkhimatan itu hanya dibuka tiga hari seminggu kepada orang ramai,” katanya pada sidang media di Masjid Negeri, Sembulan, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah JHEAINS, Datuk Saifulzaman Sangul dan Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Islam) JHEAINS merangkap Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Sabah, Mohd Sidik Awang Adi.

Mohd Arifin berkata upacara akad nikah dalam Fasa 4 PPN di Sabah juga dibenarkan diadakan di pejabat JHEAINS, masjid, surau dan premis lain seperti di rumah, hotel dan tempat lain.

Bagaimanapun, katanya kebenaran itu adalah bersyarat iaitu individu yang hadir mesti sudah lengkap divaksin dengan kehadiran 50 peratus daripada kapasiti ruang premis, selain mematuhi penjarakan fizikal dan mematuhi protokol kesihatan umum.

“Bagi upacara akad nikah di masjid atau surau, hanya boleh diadakan di bilik atau dewan khas sahaja. Ruang solat tidak dibenarkan dan majlis juga perlu mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan masjid atau surau.

“Pihak JHEAINS turut menyediakan perkhidmatan upacara akad nikah di pejabatnya dengan syarat kehadiran adalah terhad kepada lapan orang termasuk pasangan pengantin, wali, dua saksi dalam kalangan ahli keluarga dan jurunikah serta diadakan pada waktu pejabat saja,” katanya.

Jelasnya, bagi individu atau pasangan yang belum memiliki sijil Kursus Pra Perkahwinan Islam, mereka boleh memohon menyertai kursus secara bersemuka di pejabat JHEAINS berhampiran dengan had peserta tidak lebih 50 peratus daripada keluasan ruang kursus.

Katanya, JHEAINS juga menawarkan temuduga khas pra perkahwinan Islam bagi menggantikan Kursus Pra Perkahwinan secara bersemuka dengan kadar bayaran RM50 bagi setiap seorang peserta.

Bagaimanapun, beliau berkata individu yang memerlukan khidmat nasihat atau runding cara keluarga perlu membuat temu janji terlebih dahulu bagi menyelaraskan jadual.

Beliau berkata diharap dengan kelonggaran yang diberikan itu dapat memberi kemudahan kepada masyarakat Islam di negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|