613 KRT agih bakul makanan kepada 26,000 penerima

613 KRT agih bakul makanan kepada 26,000 penerima

Kudat: Sebanyak 613 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) terlibat dalam program pengagihan bantuan bakul makanan yang membabitkan seramai 26,000 orang penerima di seluruh Sabah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata, pengagihan melalui program RT Cares di bawah Kementerian Perpaduan Negara itu menyasarkan golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, program itu adalah satu inisiatif kerajaan yang mendukung falsafah prihatin dan bertanggungjawab bagi membela mereka yang terkesan.

“Untuk negeri Sabah, sebanyak 613 KRT dilibatkan dalam pengagihan RT Cares dengan menbabitkan seramai 26,000 orang penerima.

“Program ini dilaksanakan Kementerian Perpaduan Negara untuk memastikan kelangsungan komuniti ketika pandemik Covid-19 menerusi pemerkasaan tanggungjawab pihak KRT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program RT Cares dan Majlis Penyampaian Sukarelawan Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) peringkat Daerah Kecil Banggi di Pulau Banggi, hari ini.

Turut diadakan sempena program itu ialah Penyampaian Skim Bantuan Bulanan Kebajikan daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Negeri Sabah kepada penduduk Pulau Banggi.

Program RT Cares dimulakan sejak Ogos lalu dengan tujuan menyantuni golongan yang memerlukan terutamanya ahli KRT seluruh negara.

Terdahulu, Shahelmey berkat kementeriannya akan terus menyantuni golongan sasar di seluruh negeri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|