Jelani Hamdan Setiausaha Agung baharu SAFA

Jelani Hamdan Setiausaha Agung baharu SAFA

Kota Kinabalu: Datuk Dr Jelani Hamdan dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) yang baharu menggantikan Benedict Asmat berkuatkuasa serta-merta.

Pelantikan Jelani diumumkan Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin, di sini, hari ini.

Bung Moktar berkata SAFA menerima surat peletakan jawatan daripada Benedict dan Jelani akan mengambil alih tugas itu.

Benedict ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya (KKR) dan mengikut peraturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), seorang penjawat awam tidak boleh memegang jawatan Setiausaha Agung badan induk bola sepak negeri.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya mengucapkan terima kash kepada bekas Setiausaha Agung SAFA itu atas sumbangannya sepanjang bersama dengan SAFA.

“Kita sedar banyak sumbangan beliau terhadap SAFA kerana dia telah memegang beberapa jawatan sebelum ini dan telah begitu lama berkhidmat dengan persatuan bolasepak negeri,” katanya.

Jelani pula berkata beliau berterima kasih kepada Presiden SAFA itu atas kepercayaan dan keyakinan terhadapnya untuk menggalas tugas baharu itu.

Katanya, beliau akan cuba melakukan yang terbaik untuk SAFA khususnya dalam memajukan sukan bola sepak di negeri ini.

“Sebagai Setiausaha Agung, tugasnya memang berat namun dengan kepercayaan yang diberikan presiden, saya akan menggalas tugas ini sebaik mungkin untuk membantu kepemimpinan SAFA khususnya presiden memacu sukan bola sepak maju ke hadapan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|