Banjir kilat landa beberapa kampung di Menumbok

Banjir kilat landa beberapa kampung di Menumbok

Menumbok: Sekurang-kurangnya tiga kampung di sini dilanda banjir menyebabkan banyak rumah penduduk ditenggalami air dan menyukarkan mereka untuk keluar rumah.

Lebih buruk lagi, ia adalah kejadian banjir kali kedua dalam tempoh seminggu.

Setiausaha UMNO Bahagian Beaufort, Abdul Rahman Taib, berkata kampung yang terlibat ialah Kinanap, Darat dan Padang Golf.

Katanya, kampung berkenaan mengalami banjir minggu lalu dan hari ini ia sekali lagi di timpa banjir.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghubungi jurutera daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Penyu mengenai kejadian banjir itu agar tindakan segara dapat diambil.

“Kita meminta mereka memeriksa dan memantau keadaan beberapa ‘culvert’ yang tidak mampu menampung air menyebabkan limpahan ke kawasan rumah penduduk,” katanya.

Beliau menambah pihak berkuasa perlu mengambil tindakan dan mencari jalan penyelesaian memandangkan terlalu kerap berlaku banjir di daerah ini terutama ketika musim hujan.

“Kita sangat sedih dan kasihan melihat keadaan penduduk apabila rumah-rumah mereka ditenggalami air dan terpaksa meredah air banjir hingga ke paras leher untuk keluar rumah,” tegasnya.

Sementara itu, penduduk melahirkan rasa kecewa kerana tiada kelibat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury atau pegawainya datang memantau masalah yang dihadapi penduduk.

Seorang penduduk, Mohd Ariffin Said, berkata penduduk di Menumbok seolah-olah tidak diberi perhatian oleh wakil rakyat berkenaan setiap kali ditimpa bencana.

“Penduduk baru juga berhadapan dengan situasi bekalan air yang sangat keruh dalam minggu ini dan kali ini ditimpa bencana banjir pula, memang sedih bertimpa-timpa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|