Pasukan bola sepak Kota Kinabalu kehilangan pemain berbakat

Pasukan bola sepak Kota Kinabalu kehilangan pemain berbakat

Kota Kinabalu: Pasukan bola sepak Kota Kinabalu kehilangan seorang bekas pemain pertahanan, Mc Drint Manus yang terbabit dalam nahas jalan raya di sini, baru-baru ini.

Mendiang yang berusia 23 tahun adalah salah seorang pemain mewakili Kota Kinabalu yang menjuarai Kejohanan Bolasepak Piala Ketua Menteri pada 2017, selain bekas pemain skuad Piala Belia Sabah dan pasukan SAGA Kota Kinabalu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Lokman Sunggim, berkata pemergian bekas pemain pertahanan itu di usia masih muda adalah satu kehilangan kepada pasukan Kota Kinabalu dan negeri.

Katanya, beliau bersama pemain pertahanan itu sebagai pengurus pasukan ketika Kota Kinabalu menjadi juara Piala Ketua Menteri pada 2017 selain beberapa kali menjadi pengurus pasukan SAGA Kota Kinabalu di mana mendiang juga bersama dalam pasukan.

“Sebagai seorang pertahanan yang baik, mendiang Mc Drint juga pernah mewakili skuad Piala Belia Sabah,” katanya.

Lokman yang juga Timbalan Pengerusi TABS Safa Bandaraya mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang di atas pemergian mendiang secara mengejut.

“Kita sangat sedih menerima berita pemergian mendiang kerana dia juga merupakan bekas pelatih dan pemain TABS Safa Bandaraya di zaman kanak-kanaknya dan pernah mewakili TABS dalam beberapa kejohanan termasuk Piala Borneo peringkat remaja,” katanya.

Beliau berharap keluarga mendiang bersabar dengan pemergian bekas pemain pertahanan itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|