Ingkar PKP, tujuh termasuk empat wanita ditahan berhibur di pusat hiburan

Ingkar PKP, tujuh termasuk empat wanita ditahan berhibur di pusat hiburan

Kota Kinabalu: Gian berhibur di sebuah pusat hiburan akhirnya membawa padah apabila enam pengunjung termasuk empat wanita ditahan dalam Operasi Op Noda, di premis Jalan Pantai, kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Operasi jam 1.40 pagi tadi oleh cawangan Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah itu, semua yang ditahan berusia 17 hingga 54 tahun termasuk seorang penjaga premis membabitkan tiga lelaki dan empat wanita.

Pemeriksaan lanjut turut mendapati tiga daripadanya adalah warga asing yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah manakala tiga lagi positif dadah.

Pegawai Turus D7 IPK Sabah, Deputi Superintendan Alhusin Halil berkata, pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan beroperasi dan melanggar SOP PKP yang telah ditetapkan.

Katanya, pemeriksaan lanjut di salah sebuah bilik pusat hiburan berkenaan mendapati terdapat empat wanita bersama dua lelaki.

“Proses pemeriksaan dokumentasi mendapati seorang lelaki dan dua wanita adalah bukan warganegara manakala selebihnya warga tempatan.

“Semua ditahan mengikut Perkara 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana tidak menjaga penjarakan sosial, mengunjungi pusat hiburan dan tidak mengimbas Mysejahtera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alhusin berkata, semua yang ditahan berusia 17 hingga 54 tahun manakala seorang lelaki dan dua wanita pula turut didapati positif dadah.

Katanya, penjaga premis pula disiasat mengikut Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam (PEO) 1958 kerana beroperasi.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|