Beaufort: Seorang wanita parah selepas tercampak dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah Proton Iswara dan Toyota Hilux, di Jalan Lumat, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, kedua-dua kenderaan yang dinaiki enam mangsa itu dikatakan bertembung sesama sendiri ketika melalui jalan berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.14 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, mangsa wanita yang tercampak keluar dari Proton Iswara terus diberikan rawatan awal oleh pasukan ERMS.
“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Beaufort untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, lima lagi mangsa yang terbabit dalam kemalangan berkenaan tidak mengalami kecederaan dan berada dalam keadaan selamat.
“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 10.39 pagi,” katanya.
-Deasoka