Dua beradik ditahan, syabu 323.63 gram dirampas

Dua beradik ditahan, syabu 323.63 gram dirampas

Tuaran: Dua beradik yang dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak tiga tahun lalu ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor, di Kampung Baru-Baru, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, ketika diserbu, dua suspek membabitkan wanita berusia 34 dan lelaki berusia 22 tahun terbabit didapati sedang membungkus syabu dalam kuantiti kecil untuk dijual di pasaran.

Katanya, hasil serbuan itu, polis berjaya merampas sejumlah 323.63 gram syabu bernilai RM33,360 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua mereka bebas daripada pengaruh dadah.

“Siasatan awal yang dilakukan mendapati semua dadah yang dirampas itu hanya untuk pasaran sekitar kampung berkenaan dan daerah ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, berdasarkan kepada perkiraan kajian, semua dadah itu boleh digunakan seramai 1,620 penagih dadah.

Katanya, pihak polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti pembekal dadah berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan,” katanya.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|