Kota Kinabalu: Satu September bukan saja menjadi detik sejarah kewujudan Pasukan Polis Marin (PPM) sebagai sebuah agensi penguatkuasa di perairan negara.
Malah tarikh keramat itu diserikan lagi dengan penerimaan semula aset kapal ronda yang akan menjadi salah satu nadi utama membendung aktiviti jenayah rentas sempadan.
Acara penamaan semula kapalronda itu disempurnakan oleh Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah pada satu majlis di Jeti Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah Kota Kinabalu, Rabu lalu.
Pada majlis berkenaan, Acryl turut menamakan semula Kapalronda kelas PZ itu sebagai PZ1 dan PZ2.
Difahamkan, dua aset berkenaan sebelum ini diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sekitar tahun 2016.
Turut hadir menyempurnakan detik bersejarah itu adalah Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Yusof Mamat.
Semoga penamaan semula Kapalronda kelas PZ akan memberi motivasi dan suntikan semangat kepada semua pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin di seluruh Malaysia.
Sememangnya fungsi dan peranan Pasukan Polis Marin adalah nadi utama PDRM khasnya dalam membendung aktiviti jenayah rentas sempadan.
Ia membabitkan kes seperti penyeludupan pendatang tanpa izin, penyeludupan barang-barang kawalan, kegiatan rompakan di perairan dan sebagainya.
-Deasoka