DBKK laksana pembersihan kawasan pantai Tanjung Lipat

DBKK laksana pembersihan kawasan pantai Tanjung Lipat

Kota Kinabalu: Sebanyak 450 karung sampah sarap dikutip dalam operasi pembersihan yang dijalankan di kawasan Pantai Tanjung Lipat, di sini selepas dipenuhi lambakan sampah yang hanyut disebabkan hujan lebat dan air pasang besar.

Kerja-kerja pembersihan yang dilakukan bermula Khamis lalu itu mengambil masa selama dua hari bagi memastikan kawasan berkenaan benar-benar bersih.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) hari ini berkata, operasi pembersihan dilancarkan berdasarkan kepada aduan awam yang diterima pada 14 September lalu.

Katanya, walaupun berdepan pelbagai cabaran namun pihak DBKK menerusi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil langkah pantas dan agresif bagi membersihkan kawasan berkenaan.

“DBKK terpaksa menggunakan backhoe case dan lori milik DBKK dengan pembabitan seramai 15 pekerja lapangan.

“Kerja-kerja pembersihan ini akan mengambil masa selama lebih tujuh jam dengan membabitkan 15 perjalanan ulang alik dari Pantai Tanjung Lipat ke Pusat Pelupusan Sampah Kayu Madang,” katanya.

Menurutnya, ia turut menggunakan lori berkapasiti tiga dan lapan tan serta kontena jenis roro sehingga kerja-kerja pembersihan ini selesai sepenuhnya pada jam 4 petang, semalam.

Sementara itu, DBKK menegaskan, Taman Awam Teluk Likas (TATL) adalah salah satu taman tumpuan orang awam di bandaraya Kota Kinabalu.

Katanya, aspek kebersihan dan keselamatan di kawasan berkenaan adalah tanggungjawab kita bersama.

“DBKK menyeru kepada seluruh warga bandaraya Kota Kinabalu untuk sentiasa bekerjasama demi menjaga kebersihan dan mengamalkan cara pembuangan sampah yang betul.

“Sukacita dimaklumkan bermula 18 September iaitu hari ini, TATL akan dibuka kepada orang awam tertakluk kepada SOP yang ditetapkan untuk Kesejahteraan warga bandaraya Kota Kinabalu yang tercinta,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|