Dalam masa 24 jam, 526 kenderaan diarah berpatah balik

Dalam masa 24 jam, 526 kenderaan diarah berpatah balik

Kota Kinabalu: Sebanyak 526 kenderaan diarah berpatah balik sepanjang tempoh 24 jam sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh daerah di negeri ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, sejumlah 147 SJR dilaksanakan dalam tempoh 24 jam membabitkan pemeriksaan 70,795 kenderaan.

“Daripada jumlah berkenaan, 526 kenderaan diarah berpatah balik dan tiada tangkapan dilakukan,” katanya menerusi kenyataan media, malam tadi.

Mengulas lanjut, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, sebanyak 52 kompaun melanggar SOP Covid-19 dikeluarkan seluruh Sabah.

“Antara kesalahan yang dilakukan iaitu tidak memakai pelitup muka atau tidak memakai pelitup separuh muka dengan betul, membawa penumpang berlebihan, tidak mematuhi arahan perintah kawalan pergerakan dan pemilik premis gagal menyediakan QR Kod atau buka pendaftaran atau cecair pembasmi kuman (hand sanitiser).

“Selain itu, kesalahan lain yang direkodkan iaitu majikan gagal memastikan kapasiti kehadiran pekerja, pergerakan keluar masuk kawasan PKPD dan tidak mematuhi arahan penjarakan sosial,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Sebanyak 94 pemeriksaan di kawasan pantai timur dan 25 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan.

“Hasil pemeriksaan itu, satu tangkapan dibuat kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|