Kota Kinabalu: Dakwaan pembangkang kononnya wakil rakyat keluar parti kerana dibeli dengan wang ringgit disifatkan sebagai cerita retorik semata-mata.
Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih, berkata jika perkara itu benar pihak yang mendakwa sepatutnya membuat laporan dan mengemukakan bukti.
Beliau berkata sesiapa saja boleh bercakap mengenai dakwaan berlaku perbuatan ‘membeli’ wakil rakyat, namun ia tidak lebih sebagai retorik selagi tiada bukti.
“Dakwaan kononnya berlaku tindakan membeli wakil rakyat hanya retorik. Kalau ada bukti buatlah laporan, jika tiada semuapun boleh cakap perkara yang sama,” katanya, ketika diminta mengulas kononnya tindakan wakil rakyat Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang keluar daripada parti itu adalah kerana ‘dibeli’.
Sebelum ini Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyuarakan perkara itu berikutan tindakan wakil rakyat parti itu mengumumkan keluar parti.
Ahli Parlimen Lahad Datu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi adalah pemimpin terbaharu WARISAN mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas mesra kerajaan negeri, hari ini.
Beliau adalah yang kedua mengumumkan keluar daripada parti itu pada bulan ini selepas ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob yang keluar parti pada 8 Oktober lalu.
Sehingga kini, tiga wakil rakyat WARISAN meninggalkan parti itu termasuk ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir yang keluar pada Februari lalu.
Sementara itu, Isnin yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata wakil rakyat pembangkang yang keluar parti bertindak demikian kerana memikirkan nasib rakyat di kawasan mereka.
Katanya, rakyat mengharapkan wakil rakyat membela nasib mereka tetapi jika berterusan dalam pembangkang sukar untuk mereka melaksanakan tanggungjawab itu.
-Deasoka