Covid-19 Sabah: Graf kes harian tunjuk ‘trend’ peningkatan

Covid-19 Sabah: Graf kes harian tunjuk ‘trend’ peningkatan

Kota Kinabalu: Sabah dilihat mengalami ‘trend’ peningkatan semula kes Covid-19 berdasarkan pemerhatian dalam tempoh 14 hari lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata situasi itu dapat dilihat melalui graf kes harian Covid-19 yang dilaporkan di negeri ini.

“Adalah diperhatikan Sabah sedang melalui ‘trend’ peningkatan kes jika dinilai melalui graf kes harian bagi tempoh 14 hari yang lalu.

“Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan dengan mengambil kira kelonggaran pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial serta tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang mula merosot dalam kalangan penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini saja katanya, Sabah mencatat peningkatan mendadak sebanyak 61 kes kepada 650 kes berbanding 589 kes yang dilaporkan semalam.

Beliau berkata, walaupun jumlah daerah yang mencatat penurunan dan peningkatan kes adalah sama iaitu masing-masing 13 daerah dan hanya satu daerah kekal seperti catatan semalam, namun kadar peningkatan agak tinggi.

Bagaimanapun, katanya daerah di pantai timur, kecuali Kinabatangan dan Tawau, menunjukkan penularan virus Covid-19 yang terkawal dengan jumlah jangkitan yang sedikit.

“Bilangan daerah yang mencatatkan peningkatan ketara agak banyak iaitu Tuaran (+49 kes), Kinabatangan (+40 kes), Beaufort (+36 kes), Kota Belud (+18 kes), Tawau (+18 kes), Sandakan (+11 kes) dan Putatan (+10 kes).

“Daerah yang mencatatkan penurunan jumlah kes ialah Kudat (-24 kes), Tenom (-21 kes), Kota Kinabalu (-19 kes), Tambunan (-12 kes) dan Lahad Datu (-11 kes),” katanya.

Berikutan itu, Masidi mengingatkan masyarakat negeri ini sekali supaya mematuhi semua SOP walaupun sudah lengkap divaksin.

“Vaksin tidak menjadikan kita kebal daripada jangkitan. Kes baharu setiap hari menunjukkan bahawa secara purata 60 peratus daripada semua jangkitan harian adalah terhadap mereka yang sudah menerima vaksin lengkap,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|