Covid-19 Sabah: Kes sporadik semakin tinggi

Covid-19 Sabah: Kes sporadik semakin tinggi

Kota Kinabalu: Sabah merekodkan kes sporadik Covid-19 yang tinggi dengan sebanyak 41.3 peratus atau 265 kes daripada 641 kes hari ini dikenal pasti berada dalam kategori berkenaan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia memberi gambaran orang ramai semakin lalai mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, keadaan itu amat membimbangkan lebih-lebih lagi kebanyakan yang dijangkiti sudah menerima vaksin Covid-19.

“Yang lebih membimbangkan ialah kes sporadik semakin meningkat. Hari ini 41.3 peratus daripada jumlah kes adalah kes yang berlaku secara sporadik, iaitu pembawa virus tidak diketahui dan tempat jangkitan juga tidak dapat dipastikan.

“Lazimnya kes sporadik atau kes melalui saringan bergejala berlaku di tempat awam atau khalayak ramai dan kelalalaian mengutamakan pematuhan SOP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, walaupun hampir keseluruhan penerima vaksin yang dijangkiti virus hanya mengalami gejala ringan atau tidak mengalami sebarang simptom, keadaan itu tetap membimbangkan.

Beliau membuat kesimpulan, keadaan itu mungkin disebabkan ramai di antara penerima vaksin sudah lalai mematuhi SOP kerana beranggapan vaksin memberi perlindungan 100 peratus daripada jangkitan.

“Sebagai ingatan, mereka yang sudah memperolehi vaksin tidak terkecuali daripada mematuhi semua SOP bagi melindungi diri daripada jangkitan Covid-19.

“Perlu diingatkan bahawa vaksin tidak memberi perlindungan 100 peratus daripada jangkitan, malah tiada vaksin untuk apapun penyakit yang memberi jaminan kekebalan 100 peratus,” katanya.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, peningkatan kes sporadik perlu dijadikan peringatan kepada masyarakat agar melipatgandakan usaha menjaga kesihatan diri dan mematuhi semua SOP.

Beliau turut menyeru kepada semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Ketua Kampung dan pemimpin akar umbi yang lain agar membantu kerajaan memastikan semua penduduk mematuhi SOP di kampung masing-masing.

Sementara itu, katanya daerah Kota Kinabalu merekodkan jumlah kes yang paling tinggi hari ini dengan 70 kes, iaitu meningkat 23 kes berbanding semalam.

Bagaimanapun, katanya semakan mendapati 63 daripada 70 kes di Kota Kinabalu adalah kes lewat didaftar dua hari atau lebih setelah keputusan saringan diketahui.

“Di Tenom cuma satu kes berlaku sepanjang 24 jam yang lalu, manakala 33 kes lagi adalah kes lewat didaftar dua hari atau lebih.

“Sebanyak 26 daripada 51 kes di Lahad Datu juga adalah kes lewat daftar. Secara keseluruhan 274 atau 42.7 peratus daripada 641 kes hari ini adalah kes yang lewat didaftar dua hari atau lebih lama,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|