Covid-19 Sabah: Jangkitan baharu bawah 500 kes hari ini

Covid-19 Sabah: Jangkitan baharu bawah 500 kes hari ini

Kota Kinabalu: Kes harian Covid-19 di Sabah mencatat bawah 500 dengan 497 kes baharu hari ini selepas turun tujuh kes berbanding 504 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata daripada 497 kes itu, sebanyak 259 kes atau 52.1 peratus adalah kes yang berlaku sepanjang 24 jam yang lalu.

Selebihnya, beliau berkata iaitu 208 kes atau 41.8 peratus adalah kes lewat daftar antara dua hingga tiga hari, manakala 28 kes lewat didaftar antara empat hingga lima hari dan dua kes lewat didaftar melebihi lima hari selepas keputusan saringan diketahui.

“Kes-kes yang diperolehi melalui saringan bergejala kekal tinggi iaitu sebanyak 33.2 peratus daripada jumlah keseluruhan. Sebanyak 291 kes atau 58.3 peratus adalah kes melalui saringan kontak rapat,” katanya dalam kenyataan media petang ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata keberkesanan vaksin terbukti apabila 95.2 peratus atau 473 daripada 497 pesakit berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2.

Katanya, pesakit dalam kategori berkenaan sekadar mengalami simptom ringan atau tiada simptom sama sekali walaupun dijangkiti virus Covid-19.

“Pesakit dalam Kategori 3 pula cuma empat orang, manakala hanya seorang dalam Kategori 4 dan dua orang dalam Kategori 5. Sebanyak 17 kes lagi masih dalam siasatan lanjut.

“Amatlah dianjurkan agar mereka yang telah melengkapkan pengambilan vaksin terus mengamalkan gaya hidup yang sihat dan mematuhi semua SOP. Mereka yang telah lengkap divaksin tidak kebal daripada jangkitan virus Covid-19,” katanya.

Jangkitan mengikut daerah menunjukkan Kota Kinabalu kekal mencatat kes tertinggi dengan sebanyak 71 kes hari ini, manakala Kalabakan mencatat sifar kes.

Sebanyak 17 daerah mencatat kes dua angka, manakala sembilan daerah mencatat kes satu angka hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|