Buaya sesat masuk Pulau Gaya

Buaya sesat masuk Pulau Gaya

Kota Kinabalu: Usaha berterusan penduduk Kampung Lobong, Pulau Gaya, di sini, akhirnya berhasil apabila mereka berjaya menangkap seekor buaya sepanjang empat meter, hari ini.

Kehadiran haiwan pemangsa itu juga tular di media sosial selepas dimuat naik penduduk yang berusaha menangkapnya.

Buaya yang berlegar di sekitar Pulau Gaya berjaya ditangkap oleh penduduk kampung.

Difahamkan, kumpulan penduduk itu menyedari kehadiran haiwan berkenaan seawal jam 8 pagi berhampiran Kampung Pondo.

Bagaimanapun, mereka hanya berjaya mengesan secara jelas pergerakan buaya berkenaan menjelang tengah hari.

Ketua Kampung Pulau Gaya, Rajit Serong, 60, berkata, mereka kemudiannya silih berganti mengekori buaya berkenaan dengan menggunakan bot.

Katanya, kelibat buaya berkenaan semakin jelas ketika air laut surut selain hanya berlegar-legar berhampiran pantai Kampung Lobong.

“Kami terus memasang jerat menggunakan tali sebelum akhirnya menangkapnya kira-kira jam 5.30 petang.

“Kami terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rajit berkata, ia adalah pengalaman pertama mereka menangkap haiwan ganas berkenaan sejak tinggal di pulau berkenaan.

“Tujuan kami menangkap haiwan berkenaan adalah kerana bimbang keselamatan penduduk di pulau ini terutamanya kanak-kanak.

“Kita bimbang sekiranya kehadirannya tidak dikesan, ia juga boleh mendatangkan bahaya kepada nelayan di perkampungan sekitar pulau ini,” katanya.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|