Beri penekanan pembangunan di Sabah – Bung Moktar

Beri penekanan pembangunan di Sabah – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Kerajaan Pusat diminta memberi penekanan terhadap pembangunan di Sabah terutama kemudahan asas supaya negeri ini membangun seiring dengan negeri-negeri lain.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, peruntukan yang lebih besar berbanding sebelumnya perlu diberikan kepada Sabah dengan mengambil kira faktor geografi negeri ini.

Ramlan (tengah) ketika meneliti kertas cadangan serta permohonan yang dikemukakan oleh Kementerian Kerja Raya Sabah.

Katanya, isu pembangunan yang didepani oleh rakyat di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar membabitkan insfrastruktur asas seperti bekalan air, jalan raya dan elektrik agak kritikal di mana pembangunan sangat penting dan memerlukan peruntukan yang agak besar untuk dilaksanakan.

“Isu bekalan air bersih, jalan raya dan elektrik merupakan keperluan utama rakyat Sabah, ia memerlukan kos peruntukan yang agak besar yang tidak mampu disediakan oleh kerajaan negeri.

Bung Moktar mengadakan perbincangan ketika kunjungan hormat terhadap Ramlan di pejabat KPLB Putrajaya.

“Contohnya untuk membaiki dan menaik taraf bekalan air bersih sahaja kita memerlukan sekitar RM27 bilion untuk memulihkan kerosakan loji air di seluruh Sabah,” katanya selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun di pejabat kementerian berkenaan di Putrajaya baru-baru ini.

Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, sudah tentu kerajaan negeri mengharapkan bantuan daripada kerajaan Pusat khususnya KPLB untuk menyalurkan lebih banyak peruntukan ke negeri ini.

“Ia selaras dengan konsep Keluarga Malaysia dan memenuhi aspirasi rakyat Sabah dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Bung Moktar turut berkata, peruntukan yang lebih besar perlu difokuskan juga kepada isu kemudahan air terawat kerana isu berkenaan telah berlarutan sejak sekian lama dan menjadi isu yang agak kritikal ketika ini selain kemudahan sistem perhubungan jalan raya.

Terdahulu, dalam pertemuan itu beliau yang diiringi oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah, Datuk Mohd Jasmin Juplin dan Pengarah Jabatan Air Sabah, Edward Lingkapo turut mengemukakan beberapa cadangan dan permohonan kepada KPLB terutama untuk kemudahan bekalan air bersih dan jalan raya di Sabah.

“Menerusi pertemuan ini, kita berharap banyak masalah dapat diatasi berhubung pelaksanaan projek luar bandar di Sabah terutama pelaksanaan bekalan air, elektrik dan jalan luar bandar secara beperingkat mengikut keutamaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|