Kota Kinabalu: Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah (PPBPBS) tidak menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga makanan dan minuman di restoran mahupun premis makanan di negeri ini.
Presiden PPBPBS, David Chan, bagaimanapun berkata setakat ini persatuan itu hanya menerima aduan mengenai kenaikan harga tiket penerbangan susulan pengumuman kerajaan negeri membenarkan pergerakan rentas negeri bermula awal bulan depan.
Beliau berkata, perkara itu diharap dapat diberi perhatian oleh kerajaan dan syarikat penerbangan bagi membolehkan sektor pelancongan Sabah kembali pulih selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan.
“Memandangkan sektor ekonomi sedang dalam proses pemulihan dan aktiviti makan di restoran baru dibenarkan, maka semua pihak perlu bertimbang rasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, sepanjang tempoh dua tahun ini kehidupan rakyat sudah terlalu sukar, maka peniaga tidak harus mengambil kesempatan menaikkan harga barangan semata-mata ingin memulihkan perniagaan.
Bagi mengelakkan peniaga terpaksa menaikkan harga makanan dan minuman katanya, pemilik bangunan juga perlu memainkan peranan untuk tidak menaikkan kadar sewa bulanan.
“Kenaikan harga di restoran bukan hanya bergantung kepada harga bahan mentah, sebaliknya ia juga berkait rapat dengan sewa bulanan.
“Jika sewa dinaikkan peniaga akan bertindak menaikkan harga makanan dan minuman bagi mengurangkan bebanan sewa yang ditanggung.
“Kita faham peniaga mahu mendapatkan wang untuk memulihkan perniagaan tetapi mereka tidak boleh menaikkan harga ketika pengguna masih lagi terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Tambah beliau, jika diperhatikan banyak kedai yang ditutup selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana peniaga kecil tidak mampu bertahan dengan kadar bayaran sewa dan kos operasi yang tinggi.
-Deasoka