Bayi lelaki ditemui dibuang dalam tong sampah

Bayi lelaki ditemui dibuang dalam tong sampah

Kota Kinabalu: Seorang bayi lelaki ditemui masih bernyawa di dalam tong sampah berhampiran sebuah pasar raya di Taman Indah Permai, Manggatal, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, bayi cukup sifat yang dipercayai baru dilahirkan dibuang di tempat berkenaan.

Mangsa bagaimanapun ditemui seorang lelaki berusia 30-an yang kebetulan melintasi kawasan pembuangan sampah berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati, seorang lelaki yang enggan dikenali mendakwa terdengar bunyi rengekan yang pada mulanya disangka kucing.

Bagaimanapun katanya, ketika lelaki terbabit semakin menghampiri kawasan pembuangan sampah itu, bunyi semakin kuat sehingga membuatkannya terus mencari sumber bunyi berkenaan.

“Lelaki terbabit yang terkejut dengan penemuan bayi itu terus menghubungi pusat panggilan kecemasan MERS 999 untuk memaklumkan kejadian berkenaan.

“Polis yang tiba di lokasi kejadian terus menjalankan siasatan dan bayi terbabit diserahkan kepada pasukan ambulans untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, bayi itu kemudiannya dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas (HWKKS) untuk pemeriksaan dan rawatan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi usaha mengesan suspek yang terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi.

“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes yang berkenaan untuk tampil memberi maklumat.

“Mereka yang mempunyai maklumat terhadap kes yang disiasat itu boleh menghubungi pegawai penyiasat iaitu Inspektor Ab Zumin di talian 0145521425,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|