Jelani harap Sabah FC lebih baik di bawah Kim Swee

Jelani harap Sabah FC lebih baik di bawah Kim Swee

Kota Kinabalu: Pengarah Sabah FC, Datuk Dr Jelani Hamdan meletakkan harapan untuk melihat skuad Sang Badak menjadi lebih baik di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee dalam saingan Piala Malaysia.

Katanya, walaupun sasaran sebenar adalah untuk memperbaiki prestasi pasukan dalam Liga Super musim depan namun tumpuan sekarang ialah untuk mengharungi baki empat perlawanan Piala Malaysia 2021.

Pengarah Sabah FC, Datuk Dr Jelani Hamdan (tiga dari kiri) menyatakan sesuatu kepada pemain di Stadium Likas. Turut kelihatan Kim Swee, Jelius Ating, Azman dan David.

“Pencapaian kita menerusi dua perlawanan di luar sebelum ini boleh dikatakan baik, seri 1-1 dengan PJ City FC dan seri 2-2 dengan Kelantan FC dan kita berharap Sabah FC akan terus dapat memperbaiki prestasi,” katanya ketika menemui pemain dan staf kejurulatihan Sabah FC di Stadium Likas, semalam.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar; Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom; Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat dan bekas pemain skuad Olimpik negara, Datuk James Wong.

Kehadiran Jelani itu juga atas kapasitinya sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang baharu berikutan pelantikan beliau ke jawatan itu minggu lalu.

Beliau berkata, walaupun Kim Swee baru lebih kurang seminggu bersama pasukan sebelum menghadapi dua perlawanan Piala Malaysia di luar, sudah ada petanda pasukan memperlihatkan perubahan.

“Kita mahu melihat pasukan ini terus memberi cabaran khususnya dalam perlawanan menentang pasukan JDT di halaman sendiri (Stadium Likas) pada 29 Oktober ini,” katanya.

Jelani berkata, pihaknya akan memastikan SAFA dan Sabah FC mempunyai hubungan yang harmoni dan pada masa yang sama, kelab profesional itu dapat meningkatkan lagi pengurusan terutama dalam mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

“Soal perancangan, pembaikan prestasi dan teknikal dalam pasukan Sabah FC kita serahkan kepada Kim Swee sebagai seorang jurulatih yang sangat berpengalaman,” katanya.

Beliau yakin Ketua Jurulatih itu mampu memperbaiki pasukan dan berharap beliau akan dapat melakukannya untuk musim depan.

Katanya, selaku Setiausaha Agung SAFA dan Pengarah Sabah FC, beliau akan memudahkan Kim Swee mengendalikan pengurusan pasukan agar menjadi lebih baik.

“Sebagai badan induk bola sepak dan pemilik sepenuhnya Sabah FC, sudah tentu SAFA mahu agar kelab itu dapat dipantau dan SAFA dijadikan sebagai badan rujukan untuk menggerakkan lagi pasukan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|