Bantuan bakul makanan bernilai RM1 juta untuk 15 daerah

Bantuan bakul makanan bernilai RM1 juta untuk 15 daerah

Kota Kinabalu: Kumpulan Sawit Kinabalu akan mengedarkan bakul makanan bernilai RM1 juta kepada masyarakat di 15 daerah yang mana membabitkan kawasan syarikat itu beroperasi di negeri ini.

Bantuan bakul makanan itu yang kini dalam proses untuk diedarkan akan disalurkan menerusi Pejabat Daerah dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Papar, Beaufort, Membakut, Kota Kinabalu, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Tongod, Kinabatangan, Lahad Datu, Tungku, Kunak, Semporna, Tawau dan Kalabakan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu menyaksikan penyampaian replika cek sebagai simbolik daripada Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Bacho Jansie kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan negeri telah mengagihkan sejumlah 40,736 bakul makanan kepada golongan yang terkesan menerusi Program Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0, yang bermula pada 19 Jun lalu.

Sebelum ini, kerajaan sudah mengagihkan bantuan bakul makanan menerusi BSP1.0 yang membabitkan sebanyak 322,122 bakul manakala BSP2.0, sebanyak
367,231 bakul.

Sambil menegaskan bahawa semua orang harus bersatu dalam memerangi penularan COVID-19 dan paling penting mendapat vaksin secepat mungkin, Hajiji berharap sumbangan daripada Sawit Kinabalu itu dapat membantu mereka yang terkesan akibat pandemik berkenaan.

“Selain Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), saya mendesak semua wakil rakyat untuk terus menangani dan berusaha mempercepatkan proses pendaftaran vaksin di kawasan masing-masing agar sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dapat dicapai,” katanya.

-Deasoka

Hajiji (tengah) menerima cek daripada Sawit Kinabalu dalam majlis berkenaan di pejabatnya, pada Selasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|