Kota Kinabalu: Wakil rakyat pembangkang di Sabah diajak supaya membuang ego politik masing-masing dan tampil ke depan untuk bersama dengan kepemimpinan kerajaan membangunkan negeri dan membantu rakyat.
Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih, berkata apa yang penting ketika ini ialah untuk memastikan rakyat di semua kawasan mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada wakil rakyat masing-masing.
Jelasnya, kesukaran dihadapi rakyat akibat penularan pandemik Covid-19, terutama di luar bandar perlu diatasi menerusi usaha bersepadu semua pihak tanpa sebarang halangan politik atau perbezaan perjuangan parti.
“Kita tolak, buang ego kita dalam politik, yang penting rakyat. Rakyat sekarang ini kesusahan terutama sekali dalam kita menghadapi pandemik, rakyat terutama di kawasan luar bandar, Sipitang, Sindumin, ini luar bandar. Kawasan saya Klias pun luar bandar.
“Rakyat memerlukan bantuan dan semestinya mereka minta pada wakil rakyat. Jadi kalau wakil rakyat tidak boleh bantu rakyat, buat apa wakil rakyat itu, sedangkan wakil rakyat dipilih oleh rakyat.
“Jadi tindakan sebegini adalah satu tindakan yang amat baik dan saya menyeru kepada wakil rakyat datang sama kita, kita bentuk, kita bangunkan kerajaan, kita bangunkan negeri kita ini supaya membangun setanding dengan negeri di Semenanjung.
“Kita tidak mahu ketinggalan lagi, kita sudah 50 tahun, 58 tahun merdeka, tapi ada kawasan kita, kampung-kampung kita masih jalannya yang dari zaman dulu lagi. Jadi, inilah masanya,” katanya, di sini.
Beliau mengulas pengumuman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob yang keluar daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan menjadi wakil rakyat bebas, hari ini.
Sementara itu, Isnin yang juga ADUN Klias, mendedahkan ramai wakil rakyat pembangkang menyatakan hasrat untuk menyokong kerajaan, namun kebanyakan mereka masih ragu-ragu atau takut.
“Sebenarnya ramai, ramai yang sudah berhubung dengan kita tapi mereka ada masih lagi takut-takut. Jadi saya menyeru kepada mereka, mari. Mari kita sama-sama kerajaan, kita ada empat tahun lagi, kita bangunkan kawasan kita,” katanya.
Mengulas mengenai keputusan Dr Yusof meninggalkan WARISAN, Isnin yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata tindakan itu tepat dalam usaha membantu rakyat dan memastikan kawasan Sindumin tidak terpinggir.
“Sesungguhnya, tindakan itu sangat tepat dan sangat baik kerana sekarang ini kita ada empat tahun lagi selepas setahun kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memerintah.
“Dalam empat tahun ini banyak perlu dibuat di kawasan. Kalau seorang wakil rakyat pembangkang, saya rasa sukar untuk beliau untuk membangunkan kawasannya, apatah lagi berhubung dengan pihak kerajaan sama ada di Pusat ataupun negeri,” katanya.
-Deasoka