Lahad Datu: Dua lelaki warga asing ditahan selepas dikesan mengambil pasir tanpa surat kebenaran dalam kejadian di pesisir Pantai Kampung Tanjung Batu, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, kedua-dua lelaki berusia 32 dan 53 tahun ditahan ketika sedang sibuk memasukkan pasir ke dalam sebuah lori.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, kegiatan berkenaan dikesan ketika pasukannya sedang melakukan rondaan Op Benteng Covid-19.
Katanya, sebaik ditahan, pemeriksaan mendapati tiada sebarang permit dan surat kebenaran untuk mengambil pasir pantai berkenaan.
“Kedua-dua suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan terus dibawa ke Balai Polis Desa Kencana untuk tindakan selanjutnya.
“Kedua-dua suspek turut dibawa ke Klinik Kesihatan Desa Kencana untuk ujian saringan Covid 19 dan keputusan didapati negatif,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Abdul Rani berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 23A Ordinan Tanah Sabah dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen.
-Deasoka