85 peratus aduan masalah pembetungan berjaya diselesaikan JPP Sabah

85 peratus aduan masalah pembetungan berjaya diselesaikan JPP Sabah

Kota Kinabalu: Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) Sabah menerima sebanyak 877 aduan awam dengan 85 peratus daripadanya berjaya diselesaikan sehingga awal bulan ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata baki 15 peratus aduan lagi sedang dalam proses untuk diselesaikan.

Bung Moktar diiringi Mohd Jasmin dan Jennieve menekan punat sebagai simbol pelancaran Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang 2020 JPP Sabah.

Berikutan itu, beliau meminta warga kerja JPP Sabah supaya menggandakan usaha untuk memantapkan lagi operasi pembetungan di Sabah agar lebih lancar dan terurus bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Katanya JPP Sabah juga perlu mengambil pendekatan sesuai untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga sistem pembetungan di negeri ini.

Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya, Mohd Jasmin diringi Pengarah JPP Sabah, Jennieve Peter menyampaikan sijil dan trofi kepada kakitangan JPP Sabah yang bersara.

“Kesedaran orang awam mengenai kesan dan akibat daripada pembuangan sampah, lemak, gris dan minyak ke dalam sistem pembetungan amat penting kerana ia menyumbang kepada masalah pembetungan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang 2020 JPP Sabah, di sini semalam.

Bung Moktar menerima cendera kenangan daripada Pengarah JPP Sabah, Jennieve Peter selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang 2020 JPP Sabah.

Yang turut hadir ialah Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Limus Jury; Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah, Datuk Mohd Jasmin Julpin; Pengarah Perkhidmatan Pembetungan, Jennieve Peter dan Timbalan Pengarah Sektor Operasi dan Senggara, Ir Mohd Nadzree Imran.

Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata antara punca yang turut menyumbang kepada permasalahan sistem pembetungan sehingga menyebabkan ia tidak dapat berfungsi dengan lebih lancar ialah terdapat beberapa aset pembetungan yang sudah uzur.

Beliau berkata, sistem pembetungan di Sabah yang sangat uzur dan ada sebahagian tidak berfungsi sepenuhnya memerlukan dana untuk dipulihkan dan dinaik taraf bagi memastikan ia dapat berfungsi seperti yang dirancang.

Sehubungan itu, katanya, perancangan yang sistematik bagi jangka masa pendek dan jangka masa panjang perlu disediakan serta dilaksanakan oleh JPP Sabah bagi memastikan halatuju, visi dan nisi jabatan tercapai.

Dalam perkembangan berkaitan, Bung Moktar juga mahu JPP Sabah menstruktur semula jabatan berkenaan dengan meningkatkan lagi sumber manusia memandangkan jumlah aset pembetungan sentiasa bertambah mengikut kepesatan pembangunan di Sabah.

“Ianya penting kerana bukan sahaja dapat memperkasakan lagi struktur organisasi JPP Sabah tetapi juga mampu mengoptimumkannya sekali gus memelihara kualiti persekitaran dengan baik dan pada masa sama melindungi kesihatan awam serta sumber air semula jadi,” katanya.

Selain itu, Bung Moktar juga mahu JPP Sabah melaksanakan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang dikongsikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam aspek pembetungan di Sabah bagi meningkatkan kehidupan rakyat menjelang 2030.

“Selain daripada ‘Clean Water and Sanitation’ SDG juga meletakkan ‘Responsible Consumption and Production’ sebagai salah satu matlamat yang perlu dicapai oleh sesebuah ndgara.

“Antara aspek yang perlu diambil kira oleh JPP Sabah dalam pembangunan pembetungan adalah penjimatan tenaga, teknologi hijau dan lain-lain lagi.

“Seperti contoh, melalui penyelidikan pembangunan dan inovasi teknologi rawatan kumbahan, JPP Sabah seharusnya memulakan pelaksanaan sistem kitar semula hasil bi-produk kumbahan bagi tujuan kegunaan industri, pembuatan baja, penyelenggaraan landskap, pembersihan dan penjanaan sumber tenaga baharu, ” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|