60 peratus populasi Sabah dijangka lengkap vaksin menjelang 21 September

60 peratus populasi Sabah dijangka lengkap vaksin menjelang 21 September

Kota Kinabalu: Sabah mampu mencapai sasaran untuk memberikan vaksin Covid-19 lengkap kepada 60 peratus populasinya menjelang 21 September depan jika bekalan vaksin tidak bermasalah dan mengikut jadual.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata sasaran itu berdasarkan kemampuan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menyuntik sehingga 60,000 dos vaksin sehari.

“Atas andaian bekalan vaksin yang mencukupi terjamin, mengikut perancangan, JKNS boleh mengekalkan momentum melaksanakan pemberian vaksin dengan kadar yang cepat seperti sekarang.

“Ini bermakna 60 peratus penduduk Sabah yang perlu divaksin boleh memperolehi vaksin penuh atau lengkap dua dos suntikan menjelang 21 September 2021,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, sehingga semalam sebanyak 1,383,193 dos suntikan vaksin COVID-19, masing-masing 967,555 dos suntikan pertama dan 415,638 suntikan dos kedua berjaya diberikan kepada rakyat negeri ini, termasuk 46,840 dos vaksin harian semalam.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata pemberian vaksin secepat mungkin penting dan menjadi keutamaan berikutan kes baharu harian yang tinggi dan menunjukkan peningkatan kes jangkitan sporadik.

Bagi hari ini katanya, Sabah merekodkan 1,062 kes baharu COVID-19, naik semula kepada empat angka berbanding 949 kes semalam.

Analisa dibuat JKNS, katanya mendapati peratusan kes bergejala atau sporadik semakin meningkat dengan sebanyak 251 kes hari ini atau 24 peratus daripada jumlah kes harian.

“Kes sporadik yang agak tinggi berlaku di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu, Tawau, Penampang, Tuaran dan Sandakan. Di Kota Kinabalu, sebanyak 83 kes daripada 239 kes hari ini adalah dalam kategori bergejala atau sporadik, manakala di Tawau (37 kes), Penampang (27), Sandakan (19) dan Tuaran (27),” katanya.

Secara keseluruhan, daerah Tawau mencatat 137 kes hari ini, manakala Penampang (106), Tuaran (114) dan Sandakan (62).

Saringan kontak rapat bagaimanapun masih menjadi penyumbang utama kes harian di Sabah iaitu 569 kes atau 54 peratus daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, manakala 123 kes atau 12 peratus menerusi saringan kluster dan 65 kes atau enam peratus melalui saringan bersasar.

Bagi jangkitan mengikut daerah, Masidi berkata, Kota Kinabalu terus mencatat kes tertinggi dengan 239 kes baharu, diikuti dengan Tawau (137), Tuaran (114), Penampang (106), Tongod (65), Sandakan (62), Keningau (39), Sipitang (28), Papar (25), Kota Belud (25), Putatan (24), Kinabatangan (22), Beaufort (22), Telupid dan Kudat masing-masing 20 kes, manakala Kunak dan Ranau masing-masing 19 kes.

Hari ini juga menyaksikan semua 27 daerah di Sabah mencatat pertambahan kes baharu dengan sekurang-kurangnya dua kes iaitu Nabawan dan Tambunan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|