13 PATI, dua tekong ditahan

13 PATI, dua tekong ditahan

Tawau: Tindakan tegas Pasukan Keselamatan Kampung Batu Payung, di sini, berjaya menggagalkan cubaan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyeludup masuk ke daerah Tawau, semalam.

Pasukan yang terdiri daripada Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dan Jabatan Sukarelawan (RELA) mengambil tindakan menahan sebelum menyerahkan semua tangkapan kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), malam tadi.

Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, semua pati terbabit ditahan ketika menaiki dua kenderaan selepas disyaki baru mendarat di pantai Batu 12, Jalan Kampung Batu Payung, di sini.

Katanya, sebaik menerima makluman daripada ketua KRT Kampung Batu Payung, sepasukan anggota Op Cegah Pati (OCP) Daratan ESSCOM bersama enam anggota Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan lima anggota 8 RAMD terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan penguatkuasa terus melakukan pemeriksaan dan mendapati terdapat tujuh lelaki dewasa, lima perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan berada di dalam kedua-kedua kenderaan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, semua individu berusia dua hingga 49 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah”, katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ahmad Fuad berkata, hasil soal siasat lanjut mendapati semua individu terbabit mengaku baru tiba dari Sungai Nyamuk, Indonesia menggunakan laluan yang tidak sah.

Katanya, dua pemandu kenderaan yang membawa mereka pula mengaku mengambil semua penumpang berkenaan setibanya di lokasi itu.

“Turut ditahan dua tekong darat warga tempatan berusia 28 tahun bersama dua kenderaan yang digunakan dalam kegiatan berkenaan.

“Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 55(E) Akta Imigresen 1959/63 dan Sekyen 6 (1) (c) akta yang sama”, katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Fuad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan operasi berkenaan.

Katanya, tindakan KRT dan RELA Zon Tanjung Batu bukan saja menjadi ‘mata dan telinga’ tetapi juga membantu pasukan keselamatan mengekang kemasukan Pati atau penyebaran Covid-19 ke kampung mereka.

“Saya menyeru agar komuniti pesisir pantai khususnya di pantai timur Sabah supaya memainkan peranan mereka masing-masing.

“Ia termasuk membantu pasukan keselamatan masyarakat dengan menjadi mata dan telinga serta memberi maklumat mengenai kemasukan PATI untuk tindakan selanjutnya”, katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|