KOTA BELUD: Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick berkata, Taman Perindustrian Kota Belud (KBIP) dijangka membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat Sabah, khususnya penduduk di daerah ini apabila ia mula beroperasi kelak.
Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah itu berkata, ini sejajar dengan usaha kerajaan negeri memperluaskan pembangunan sektor perindustrian menerusi pembukaan tiga taman perindustrian baharu di Beaufort, Kudat dan Kota Belud.
Beliau berkata, daripada lebih 13,000 ekar kawasan yang dikenal pasti pada peringkat awal, kerajaan bersetuju membangunkan kira-kira 3,300 ekar bagi KBIP.
“Ketika ini proses perolehan kawasan melibatkan tanah kerajaan dan tanah lain sedang dilaksanakan dan sudah tentu ia memerlukan masa sekurang-kurangnya setahun.
“Dalam masa yang sama, kementerian juga bergerak untuk mempromosikan taman-taman perindustrian ini yang telah diputuskan oleh kabinet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kota Belud di Buhavan Square, di sini, kelmarin.
Ewon berkata, kementeriannya turut mengadakan lawatan promosi pelaburan ke Taiwan dan China bagi menarik syarikat luar melabur di Sabah.
“Hasil lawatan itu, kita telah menerima komitmen pertama daripada Dongfeng Motor, sebuah syarikat pengeluar kenderaan dari China yang bekerjasama dengan syarikat tempatan Sabah, Kim Teck Cheong Berhad.
“Mereka telah memohon sekitar 200 ekar tanah di Taman Perindustrian Kota Belud untuk membangunkan kilang pemasangan kenderaan mereka,” katanya.
Menurutnya, selain syarikat berkenaan, sebuah syarikat dalam sektor minyak dan gas turut memohon kira-kira 50 ekar tanah di kawasan itu.
Ewon berkata, pihaknya akan meneruskan usaha menarik lebih banyak pelaburan asing ke Sabah, termasuk menerusi lawatan kerja ke Korea Selatan pada 8 hingga 12 Jun depan.
“Saya akan bertemu tiga syarikat dari Korea Selatan yang telah menyatakan hasrat untuk mengembangkan perusahaan mereka di Sabah.
“Sebagai wakil rakyat dari Kadamaian dan Kota Belud, saya perlu meyakinkan mereka supaya memilih Taman Perindustrian Kota Belud sebagai destinasi pelaburan mereka.
“Apabila taman perindustrian ini mula beroperasi dan syarikat-syarikat mula bertapak di situ, peluang pekerjaan pertama perlu diberikan kepada rakyat Kota Belud khususnya di Kadamaian, Usukan, Tempasuk dan Pintasan,” katanya.
