KOTA KINABALU: Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah mempersoalkan siapa sebenarnya yang benar-benar memperjuangkan hak Sabah, susulan perbandingan ketara peningkatan Pemberian Khas Persekutuan daripada RM53.4 juta kepada RM600 juta ketika ini.
Dalam nada sinis, beliau berkata “penyakit mudah lupa” yang sering dikaitkan dalam politik kini dilihat menular dalam kalangan pemimpin pembangkang di Sabah, khususnya Parti Warisan Sabah (Warisan).
Merujuk kepada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini, Aksyah berkata tindakan beberapa wakil rakyat pembangkang yang bangkit dengan penuh emosi membangkitkan isu “Warta 1965” dan tuntutan 40 peratus hasil negeri seolah-olah menggambarkan mereka sebagai “pejuang tunggal hak rakyat Sabah”.
“Orang yang mendengar mungkin terpukau. Tetapi bagi saya, ini bukan perkara baharu. Isu MA63 dan tuntutan hasil negeri sudah dibincangkan sejak puluhan tahun dahulu.
“Persoalan yang kita patut tanya, kenapa baru sekarang mereka mahu memekik?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aksyah turut mengimbas kedudukan kepimpinan terdahulu, termasuk peranan pemimpin kanan Warisan yang pernah berada dalam kerajaan Persekutuan.
Katanya, ketika mempunyai kuasa, isu seperti “Warta 1965” tidak diperjuangkan secara bersungguh-sungguh.
“Mereka bersuara hari ini hanya untuk kelihatan seperti hero Sabah demi survival politik sendiri,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa pada tahun 2019, ketika Warisan memerintah Sabah, kabinet negeri bersetuju menerima Pemberian Khas Persekutuan pada kadar hanya RM53.4 juta.
“Itu sahaja kemampuan mereka — tunduk dan terima,” katanya.
Sebaliknya, Aksyah berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menunjukkan pendekatan berbeza melalui rundingan strategik dengan kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, hasilnya jelas apabila kadar Pemberian Khas Persekutuan meningkat kepada RM125.6 juta pada 2022, seterusnya RM300 juta pada 2023 dan kini mencecah RM600 juta.
“Inilah hasil kerja yang nyata, bukan sekadar janji kosong di atas pentas,” katanya.
Beliau berkata, Hajiji merupakan pemimpin yang belajar daripada sejarah dan memahami keperluan untuk memperkukuh suara Sabah melalui pendekatan lebih tersusun.
Katanya, langkah mengangkat parti tempatan sebagai teras kepimpinan negeri serta dalam masa sama mengekalkan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan adalah strategi yang tepat.
“Beliau membina ‘Rumah Kita’ untuk kita jaga sendiri, tetapi tidak bermusuh dengan Persekutuan demi memastikan segala perkara dalam MA63 dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.
Sehubungan itu, Aksyah menegaskan bahawa rakyat perlu menilai berdasarkan fakta dan rekod pencapaian, bukan sekadar retorik politik.
“Politik ini bukan tentang siapa jaguh berlari pecut bawah 10 saat, tetapi ia adalah larian maraton yang memerlukan kebijaksanaan.
“Justeru itu, mana yang lebih besar? RM53.4 juta atau RM600 juta? Fikir-fikirkan,” katanya.
