RANAU: Cadangan penubuhan lembaga industri durian Sabah dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan sektor durian negeri tanpa membebankan pekebun dengan bayaran ses, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.
Beliau berkata, usaha menubuhkan lembaga berkenaan bukan perkara baharu, sebaliknya telah lama dibincangkan dan kini diperhalusi dengan kertas kerja yang telah dibawa ke Kabinet.
“Cadangan ini bukan sesuatu yang baharu. Kita sudah ada kertas kerja dan telah dibawa ke Kabinet. Cuma sebelum ini ada kekhuatiran sekiranya lembaga diwujudkan, ia akan menjadi beban kepada pengusaha durian,” katanya ketika merasmikan penutupan Mesyuarat Agung Persatuan Pekebun Durian Ranau di Rumah Rehat Lohan, di sini hari ini.
Jamawi berkata, kebimbangan utama pekebun adalah kemungkinan lembaga tersebut mengenakan ses terhadap hasil durian seperti yang diamalkan oleh beberapa lembaga lain.
“Namun untuk lembaga durian ini, kita cuba usahakan supaya ia lebih memberi bantuan dan sokongan kepada petani, bukannya mengenakan ses kepada hasil buah durian,” katanya.
Beliau yakin penubuhan lembaga khusus itu akan membantu merancang serta memperkukuh industri durian, khususnya dalam meningkatkan pengeluaran durian premium di Sabah.
“Setakat ini kita hanya mampu menghasilkan kira-kira 40 peratus keperluan durian premium, manakala 60 peratus lagi masih diimport dari Semenanjung Malaysia,” katanya.
Beliau menjelaskan durian premium merujuk kepada varieti berkualiti tinggi seperti Musang King, Blackthorn dan IOI yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran.
Sehubungan itu, beliau menggesa pekebun mengambil peluang menukar durian kampung kepada durian premium melalui teknik cantuman dewasa.
“Di Lohan ini, saya dapati ada enam orang yang mahir membuat cantuman dewasa. Jadi kita akan bantu melalui inisiatif tertentu,” katanya.
Sebagai permulaan, beliau mengumumkan pembiayaan bagi 500 pokok pertama untuk proses cantuman dewasa di Ranau.
“Untuk Ranau, 500 pokok pertama saya akan sponsor untuk cantuman dewasa. Pekebun boleh buat tuntutan terus dengan saya berdasarkan laporan yang dikemukakan,” katanya.
Menurutnya, Sabah kini mempunyai kira-kira 20,000 hektar tanaman durian dengan hanya 5,000 hektar daripadanya merupakan durian premium.
Beliau berkata, lambakan durian kampung setiap musim menyebabkan harga jatuh sehingga serendah RM3 sekilogram, sekali gus menjejaskan pendapatan pekebun.
“Kita tidak mahu pekebun sekadar ‘ngam-ngam’. Kita mahu mereka ada lebihan pendapatan, sebab itu kita galakkan penukaran kepada durian premium,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan fenomena cuaca panas akibat El Niño tahun ini menyebabkan semua kawasan penanaman durian di Sabah berbunga serentak.
“Biasanya musim berperingkat antara Ranau, Sipitang, Tenom dan Keningau, tetapi tahun ini semuanya serentak. Dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang, kita jangka lambakan durian,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan sedang merancang untuk memperkukuh pusat pengumpulan dan pemprosesan hasil pertanian bagi mengatasi isu lambakan.
“Keningau sudah ada, Tenom sedang dibina, dan saya akan cuba dapatkan peruntukan untuk bina pusat pengumpulan di Ranau tahun ini,” katanya.
Beliau turut menyatakan keperluan menaik taraf jalan pertanian bagi memudahkan pengangkutan hasil, namun peruntukan sedia ada masih tidak mencukupi.
“Peruntukan kementerian hanya sekitar RM4 juta setahun, sedangkan dalam tempoh empat bulan sahaja kita sudah terima permohonan bernilai RM12 juta,” katanya.
Katanya, keadaan jalan pertanian yang daif, termasuk hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda, terus menyukarkan pekebun mengeluarkan hasil.
“Saya akan terus memperjuangkan tambahan peruntukan untuk jalan kampung dan sistem pengairan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Kerajaan Negeri optimis terhadap bayaran 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah yang dijangka dapat meningkatkan peruntukan pembangunan sektor pertanian.
Sementara itu, beliau turut mempromosikan inisiatif Kebun Dapur yang dilaksanakan lebih awal di Sabah bagi memperkukuh keterjaminan makanan.
“Inisiatif ini memberi peluang kepada rakyat menanam tanaman dan menternak secara kecil-kecilan di rumah dengan kos lebih rendah melalui subsidi dan diskaun,” katanya.
Beliau berkata, jelajah Kebun Dapur akan dilaksanakan di semua 25 kawasan Parlimen di Sabah, dengan lokasi seterusnya di Papar pada 1 Mei ini.
“Melalui inisiatif ini, kita mahu rakyat mempunyai sumber makanan sendiri dan mampu berdepan sebarang krisis ekonomi pada masa hadapan,” katanya.
Turut hadir Yang Dipertua Persatuan Pekebun Durian Ranau, Datuk Japiril Suhaimin; Pengawai Daerah Ranau, Tinus Manggam; Pengerusi Pertubuhan Peladang Kinabalu, Datuk Haji Paimin Kamin; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau; Elmer Endra Datuk Matius Sator dan Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Daerah Ranau, Aliyu Zinin.
Dalam program berasingan, Jamawi melawat Kampung Bongol, Tamparuli bagi memantau jalan pertanian bagi pekebun di situ.
