KOTA KINABALU: Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) merangkap pengasas TigaSatuTiga Channel, Kefayatullah bin Malik Aman, tampil membuat laporan polis berhubung penyebaran komen berunsur penghinaan terhadap tokoh sejarah Sabah, Paduka Mat Salleh, di media sosial.
Laporan tersebut dibuat sekitar jam 9 malam di Balai Polis Tuaran selepas tular beberapa komen dalam satu video perbincangan sejarah di Facebook yang didakwa mengandungi kenyataan melampau terhadap tokoh berkenaan.
Menurut Kefayatullah, tindakan tersebut bukan bertujuan menghalang kebebasan bersuara atau perbincangan sejarah, sebaliknya bagi mengelakkan isu berkenaan berkembang menjadi sentimen perkauman dan perpecahan masyarakat di Sabah.
“Perbincangan sejarah itu dibenarkan dan memang perlu. Tetapi apabila sudah melibatkan penghinaan melampau tanpa asas akademik yang jelas, serta dibuat secara terbuka di media sosial, ia boleh mencetuskan provokasi dan ketegangan dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai membuat laporan polis di Balai Polis Tuaran sebentar tadi.
Dalam laporan tersebut, beliau menyatakan kebimbangan terhadap beberapa komen media sosial yang mendakwa Paduka Mat Salleh sebagai “lanun”, “perompak”, “perogol”, “pembunuh” dan pelbagai gelaran lain tanpa pembuktian sejarah yang sahih.
Kefayatullah turut menegaskan bahawa Paduka Mat Salleh merupakan tokoh sejarah yang telah lama diiktiraf dalam sejarah Sabah dan Malaysia melalui bahan pendidikan, memorial rasmi, kajian sejarah serta pengiktirafan institusi kerajaan negeri.
“Kalau mahu berbahas tentang tokoh sejarah, gunakan medium yang betul. Gunakan pendekatan akademik, bukan emosi dan bukan sekadar komen media sosial,” katanya lagi.
Beliau turut menjelaskan bahawa sejarah Sabah, khususnya berkaitan Paduka Mat Salleh, merupakan isu yang kompleks dan melibatkan pelbagai sudut pandang termasuk rekod kolonial British, oral tradition masyarakat tempatan serta konteks politik dan peperangan pada zaman tersebut.
“Ucapan lisan dan oral tradition juga boleh dipengaruhi keadaan semasa ketika itu. Rekod kolonial juga ada bias politiknya sendiri. Sebab itu sejarah tidak boleh dibaca hanya dari satu pihak sahaja,” jelasnya.
Menurut beliau, mana-mana pihak yang ingin membahaskan isu berkaitan tokoh sejarah perlu merujuk kepada sumber primer seperti dokumen perjanjian, rekod arkib, surat rasmi, kajian akademik dan bahan sejarah yang sahih agar perbincangan tidak menjadi fitnah atau propaganda yang boleh mengelirukan masyarakat.
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam sejarah kolonial, ramai tokoh penentangan tempatan di seluruh dunia pernah dilabel sebagai pemberontak, lanun atau pengganas oleh pihak penjajah bagi melemahkan pengaruh mereka.
“Sejarah perlu dikaji dengan adil dan matang. Jangan terlalu taksub, tetapi jangan juga menjadi penyambung propaganda kolonial tanpa sedar,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berharap masyarakat Sabah dapat terus menjaga keharmonian antara kaum dan suku kaum serta tidak menjadikan isu sejarah sebagai punca permusuhan sesama masyarakat.
Beliau turut menyerahkan beberapa tangkap layar komen dan akaun media sosial berkaitan kepada pihak polis untuk rujukan lanjut.
