Saya merujuk kepada tulisan dan poster yang disiarkan oleh MAWAR Channel di Facebook berhubung Projek Ammonia dan Urea Sabah atau SAMUR di Sipitang, yang membuat dakwaan mengelirukan terhadap Kerajaan Negeri Sabah, Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, serta pengurusan hasil minyak dan gas Sabah.
Kenyataan tersebut adalah tidak benar dan amat mengelirukan. Dakwaan kononnya urea dan ammonia dari Sabah dihantar ke Semenanjung Malaysia untuk dikilangkan menjadi baja adalah satu gambaran yang salah.
Hakikatnya, loji SAMUR di Sipitang bukan sekadar memproses bahan mentah, tetapi merupakan antara loji pengeluaran baja urea terbesar di Asia Tenggara. Baja urea yang dihasilkan adalah produk siap yang diproses sepenuhnya di bumi Sabah.
Lebih tidak wajar, poster berkenaan turut memaparkan gambar Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, dalam bahan politik yang membawa fitnah. Institusi TYT Sabah mesti dihormati sebagai institusi negeri yang berada di atas politik kepartian, bukan diheret ke dalam propaganda murahan bagi membangkitkan kebencian rakyat terhadap kerajaan.
Sehubungan itu, saya akan merujuk kandungan tulisan dan poster MAWAR Channel ini kepada peguam untuk tindakan undang-undang yang sewajarnya. Kebebasan bersuara bukan lesen untuk memfitnah, memanipulasi fakta, mencemar nama baik pemimpin Kerajaan Negeri, atau menyeret imej institusi negeri dalam kempen politik yang tidak bertanggungjawab.
MAWAR Channel juga perlu berhenti memperkecilkan penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas. Melalui SMJ Energy, Sabah telah memperoleh 25 peratus pegangan ekuiti dalam loji SAMUR. Ini bermakna Sabah bukan lagi sekadar pemerhati, tetapi rakan perniagaan rasmi yang mempunyai kepentingan langsung dalam aset strategik tersebut.
Pegangan ekuiti ini bukan perkara kecil. Ia membolehkan Sabah menerima manfaat secara langsung daripada keuntungan, dividen dan hasil jualan produk baja yang dikeluarkan oleh SAMUR. Hasil ini seterusnya dapat disalurkan kembali bagi membiayai pembangunan negeri dan memperkukuh kedudukan ekonomi Sabah.
Malah, wakil SMJ Energy turut mempunyai kedudukan dalam struktur tadbir urus syarikat berkaitan, sekali gus memberi ruang kepada Sabah untuk terlibat secara lebih langsung dalam hala tuju korporat, peluang pekerjaan, penyertaan tempatan dan sumbangan ekonomi daripada aset tersebut.
Baja urea yang dihasilkan di SAMUR dipasarkan ke pasaran antarabangsa dan dalam Malaysia berdasarkan pertimbangan komersial bagi memaksimumkan pulangan. Sebahagian penting daripada pulangan tersebut kembali kepada Sabah melalui penyertaan ekuiti negeri.
Maka, tuduhan kononnya Sabah hanya menjadi mangsa atau tidak mendapat manfaat adalah tidak tepat dan sengaja mengelirukan.
Soal membangunkan industri baja, petrokimia dan minyak serta gas bukan sekadar soal emosi. Ia melibatkan pasaran, modal, teknologi, kos logistik, daya maju kilang, bekalan tenaga, tenaga kerja mahir, insentif pelaburan dan jaringan eksport. Kerajaan yang bertanggungjawab tidak membuat keputusan hanya untuk kelihatan hero di media sosial, tetapi berdasarkan kepentingan ekonomi jangka panjang Sabah.
Pada masa yang sama, pihak yang cuba mengangkat Datuk Seri Shafie Apdal sebagai kononnya pemimpin yang paling tegas mempertahankan hasil Sabah juga perlu berlaku jujur terhadap rekod beliau sendiri.
Ketika beliau menjadi Ketua Menteri, apakah model besar yang benar-benar dimuktamadkan untuk memastikan Sabah mempunyai pegangan komersial yang lebih kukuh dalam aset minyak dan gas seperti yang sedang dilaksanakan hari ini melalui SMJ Energy?
Mudah untuk bercakap selepas tidak lagi memegang kuasa. Mudah juga untuk mendakwa semua bahan mentah Sabah tidak patut keluar dan semua industri hiliran mesti dibina di Sabah. Malangnya, ketika diberi peluang mentadbir kerajaan, pendekatan itu tidak diterjemahkan secara menyeluruh kepada struktur pemilikan, penyertaan ekuiti dan hasil komersial yang nyata untuk Sabah.
Sebab itu rakyat perlu menilai berdasarkan hasil, bukan sekadar nostalgia politik dan ucapan yang sedap didengar. Kerajaan GRS tidak pernah menolak keperluan memperkukuh industri hiliran di Sabah.
Malah, hala tuju Kerajaan Negeri adalah jelas, iaitu meningkatkan penyertaan Sabah dalam rantaian nilai minyak dan gas secara berperingkat, realistik dan memberi pulangan sebenar kepada negeri serta rakyat.
MAWAR Channel boleh terus memainkan sentimen, tetapi rakyat Sabah berhak mendapat fakta yang benar. GRS tidak berpolitik dengan kemarahan kosong. GRS bekerja untuk memastikan Sabah memiliki kedudukan yang lebih kukuh, hasil yang lebih baik dan penyertaan yang lebih bermakna dalam industri strategik negeri.
Saya menyeru MAWAR Channel supaya menarik balik tulisan dan poster tersebut, menghentikan penyebaran dakwaan yang mengelirukan serta memohon maaf atas tindakan tidak bertanggungjawab mengheret imej TYT Sabah dalam propaganda politik mereka.
Sekiranya fitnah seperti ini terus dimainkan, tindakan undang-undang akan menjadi pilihan yang wajar bagi mempertahankan kebenaran dan maruah kepimpinan Kerajaan Negeri.
Sabah tidak akan maju dengan politik fitnah. Sabah akan maju dengan kestabilan, keberanian berunding, kebijaksanaan mengurus aset, dan kepimpinan yang memilih hasil berbanding slogan.
