Tarikh PRN hanya ditentukan sebaik perbincangan bersama rakan komponen: Hajiji

Tarikh PRN hanya ditentukan sebaik perbincangan bersama rakan komponen: Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan bahawa keputusan mengenai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya akan dibuat selepas perbincangan bersama rakan-rakan komponen dalam Kerajaan Negeri.

Jelas beliau, setakat ini, tempoh pentadbiran bagi penggal kerajaan masih berjalan seperti biasan dan hanya berakhir pada November hadapan.

Hajiji berkata, perbincangan penentuan tarikh tersebut dijangka bukan sahaja melibatkan komponen GRS, bahkan rakan-rakan daripada PH Sabah.

“Ya, tempoh kita ini akan berakhir pada bulan November yang akan datang.

“Ianya diambil apabila kita mula mengadakan sidang DUN selepas pilihan raya yang lalu. Jadi, belum sampai sana lah tempoh itu.

“Kita akan bermesyuarat dengan, bukan saja GRS, tetapi rakan-rakan kita dalam kerajaan, PH Plus. Jadi, baru kita tentukan bila kita putuskan untuk mengadakan pilihan raya,” katanya, ketika ditemui pemberita selepas Sidang DUN Sabah, di sini, hari ini.

Beliau yang Pengerusi GRS menegaskan bahawa keputusan mengenai pembubaran DUN kan ditentukan melalui permuafakatan bersama parti-parti dalam kerajaan, termasuk PH Plus.

Mengulas mengenai kesediaan pihaknya membuka ruang rundingan kerjasama dengan parti-parti lain, Hajiji berkata ia masih luas terbuka asalkan membawa manfaat kepada rakyat Sabah.

“Kita kerajaan, saya orang kerajaan negeri pada hari ini. Jadi, itulah pendirian kita.

“Tetapi, untuk kebaikan negeri dan rakyat, kita tidak boleh menutup pintu rundingan, pintu perbincangan dengan parti-parti yang lain yang penting, ianya memberi kebaikan kepada rakyat dan negeri.

“Kita harus bersatu padu, kita mesti mempunyai kestabilan politik untuk kebaikan kita semua. Itulah harapan saya…

“Ya, asal memberi kebaikan kepada kita. Tetapi jangan lupa, kadang-kadang ada orang yang cakap, tetapi kita adalah kerajaan pada hari ini. Kita yang akan menentukan halatuju kerajaan yang ada ini,” katanya.

Beliau pada masa sama turut menegaskan bahawa sebarang halatuju dan dasar kerajaan negeri akan terus ditentukan oleh kepimpinan semasa bagi memastikan kestabilan politik terus terpelihara.

(kredit gambar FB Hajiji Haji Noor)

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|