SOGIP pemangkin pertumbuhan sektor tenaga, ekonomi Sabah

SOGIP pemangkin pertumbuhan sektor tenaga, ekonomi Sabah

KOTA KINABALU: Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor tenaga yang amat penting untuk pertumbuhan berterusan ekonomi negeri Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.


Katanya, SOGIP telah memperolehi banyak pelaburan termasuk berimpak tinggi antaranya Syarikat Esteel untuk kilang keluli (Green Steel) dengan nilai pelaburan berfasa sebanyak RM20 bilion.


Beliau berkata, terbaharu Projek Hub Tenaga, Minyak dan Gas bernilai RM8.88 bilion (USD2 bilion) iaitu kerjasama antara Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC) yang menguruskan SOGIP dan Gibson Shipbrokers Limited, sekaligus akan menjadikan Sabah sebagai hub utama dalam sektor tenaga Asia Tenggara.


Sebab itu katanya, kerajaan hari ini terus komited dalam memberikan sokongan penuh kepada pelaburan yang mampu membawa manfaat jangka panjang kepada rakyat Sabah.


“Saya yakin dengan kejayaan projek ini, ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri minyak dan gas, sekali gus menjadikan Sabah sebagai hab tenaga yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.


“Kita bersyukur kerana Sabah kaya dengan sumber semulajadi seperti hutan, galian, fauna, flora serta hidupan laut. Lokasi strategik, persekitaran politik stabil, sumber semula jadi yang banyak, dan ekonomi yang pelbagai antara faktor menjadikan Sabah sebagai pilihan sesuai untuk pelabur asing”, katanya pada Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Loji Penyimpanan dan Penapisan Minyak Petroleum di SOGIP, di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Selasa.


Katanya, Sabah yang berpotensi besar dalam sumber minyak dan gas, sudah pasti projek Pembinaan Loji Penyimpanan dan Penapisan Minyak Petroleum, milik Petroventure Energy Sdn.Bhd yang dijangka bermula pada bulan April ini, akan membantu dalam peningkatan ekonomi negeri ini.


Menurutnya, projek itu bakal menyaksikan pembinaan loji penapisan minyak berkapasiti sehingga 150,000 tong sehari (BPD) serta kemudahan penyimpanan minyak sebanyak 3 juta meter padu bagi minyak mentah dan produk petroleum yang telah ditapis.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|