Sabah rangka Hala Tuju Strategik Pembangunan Negeri RMKe-13

Sabah rangka Hala Tuju Strategik Pembangunan Negeri RMKe-13

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah merangka Hala Tuju Strategik Pembangunan Negeri di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) sebagai langkah proaktif
untuk memacu ekonomi dan pembangunan negeri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.


Katanya, RMKe-13 yang akan bermula dari tahun 2026 hingga 2030, dirangkamengambil kira dasar, pelan pembangunan dan Blueprint semasa, serta inisiatif-inisiatif utama yang sedang diterokai, termasuk inisiatif Ekonomi Biru.


Beliau berkata, agenda pembangunan negeri di bawah RMKe-13 juga turut diselaraskan dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals (SDG) bagi memastikan pembangunan negeri yang inklusif dan lestari seiring dengan komitmen di peringkat nasional dan global.


Menurutnya, bagi memperkukuhkan inisiatif Ekonomi Biru, Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu lalu, telah meluluskan penubuhan Taman Perindustrian Ekonomi Biru
(Blue Economy Industrial Park (BEIP)) di Kudat.


“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri amat serius dalam membangunkan sektor Ekonomi Biru sebagai sumber baharu ekonomi yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh rakyat, khususnya dalam mencipta peluang-peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.


“BEIP ini dijangka berupaya mentransformasi bahagian utara Sabah, khususnya pekan Kudat, menjadi “the new industrial township” yang berupaya menarik ramai pelabur dari dalam dan luar negara, menerokai segala potensi yang berkaitan dengan Ekonomi Biru seperti perikanan, pelancongan marin, farmaseutikal, marikultur dan tenaga boleh diperbaharui”, katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Tahun Baru 2025 Ketua Menteri Bersama Penjawat Awam di Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Khamis.


Hajiji berkata, pembangunan negeri akan dilaksanakan secara holistik, meliputi aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar dibawah RMKe-13.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|