TUARAN: Kerajaan Negeri terus memperkukuh komitmennya dalam memastikan rakyat negeri ini tidak tercicir daripada arus pembangunan sosial negara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa kesejahteraan rakyat kekal menjadi agenda utama pentadbiran negeri.
Katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM162.42 juta pada tahun ini kepada Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah serta agensi di bawahnya bagi melaksanakan pelbagai program sosial yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Kerajaan menyalurkan sebanyak RM76.29 juta tahun ini bagi membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal, kanak-kanak serta anak yatim melalui pelbagai skim bantuan yang disasarkan secara khusus.
“Manakala sejumlah RM956,000 turut diperuntukkan untuk program-program kesejahteraan rakyat yang meliputi aspek kekeluargaan, kepenggunaan, pembangunan wanita dan gaya hidup sihat”, katanya ketika merasmikan Program Kembara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2025 dan Perasmian Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Mobile Sabah di Astaka Padang Tuaran pada Jumaat.
Selain itu katanya, sebanyak RM550,000 disalurkan kepada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sabah dalam usaha membendung penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.
Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya KPWKM yang telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dan perkhidmatan kepada rakyat Sabah.
Katanya, ini termasuk RM300,000 Bantuan Bencana Banjir Sabah 2025 oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN), RM2.1 juta diperuntukkan bagi keperluan 384 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) semasa musibah banjir di seluruh negeri.
Menurutnya, sebanyak RM330 juta Program Bantuan Kewangan Persekutuan Tahun 2025 untuk Sabah, di mana RM315 juta diagihkan kepada 45,572 penerima bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Usaha ini mencerminkan perhatian serius Kerajaan Persekutuan terhadap kesejahteraan rakyat Sabah dan kesediaan untuk terus memperkukuh jaringan sosial demi rakyat,” katanya.
Menyentuh pelancaran PSSS Bergerak, Hajiji menyifatkan inisiatif itu sebagai respons tepat terhadap krisis kesihatan mental yang semakin membimbangkan di seluruh negara, terutama pasca pandemik COVID-19.
Deasoka