Projek FOLUR letak Sabah di peta dunia bersama 27 negara lain

Projek FOLUR letak Sabah di peta dunia bersama 27 negara lain

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Program Kesan-Kesan Sistem Penghasilan Makanan, Guna Tanah dan Restorasi (Food Systems, Land Use and Restoration (FOLUR)) di Sabah telah meletakkan negeri ini di peta dunia bersama 27 negara lain di bawah Program FOLUR global.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, melalui kerjasama dengan United Nations Development Programme (UNDP) dan Global Environment Facility (GEF), Projek FOLUR melibatkan Pengurusan Landskap Bersepadu meliputi keluasan kira-kira 2.38 juta hektar, iaitu 12 daerah di Sabah, dijangka akan memberi manfaat kepada lebih kurang 54,000 orang penduduk kawasan luar bandar.


Beliau berkata, Projek FOLUR amat signifikan dalam usaha Sabah untuk menyeimbangkan keperluan pembangunan pertanian dengan pemuliharaan alam sekitar serta sedang melangkah ke arah sistem makanan yang lebih mampan, cekap dan inklusif.


“Projek ini menyokong amalan pertanian lestari, khususnya dalam sektor kelapa sawit, di samping memulihara kawasan hutan yang telah terjejas. Ini membolehkan kita mengurangkan tekanan terhadap ekosistem hutan dan pada masa sama menjamin bekalan makanan dan sumber pendapatan rakyat Sabah”, katanya pada Majlis Pelancaran Hari Hutan Antarabangsa 2025 Peringkat Negeri Sabah di perkarangan Fakulti Perhutanan Tropika Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Khamis.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoon Jin Zhe.
Hajiji berkata, dalam jangka masa panjang, inisiatif itu akan menyokong matlamat iklim memandangkan hutan penting dalam memerangi perubahan iklim melalui penyerapan karbon.

FOLUR akan menyumbang kepada komitmen Sabah terhadap perubahan iklim, pemuliharaan biodiversiti dan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goal (SDG)) khususnya SDG 15: “Life on Land”.


Menurutnya, Jabatan Perhutanan Sabah sedang merangka Pelan Induk Hutan (Statewide Forest Master Plan) yang akan menyediakan pelan tindakan terhadap pengurusan sumber hutan bagi tempoh 25 tahun akan datang, untuk kawasan hutan di seluruh Sabah.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|