Prestasi konsesi, kontrator lantikan memuaskan: Shahelmey

Prestasi konsesi, kontrator lantikan memuaskan: Shahelmey

KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri mengambil langkah tegas dalam memastikan mutu kerja penyelenggaraan jalan berada pada tahap yang terbaik.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya berkata, beliau mengakui sebahagian besar jalan raya telah melepasi jangka hayat reka bentuknya.

Katanya, setakat ini prestasi syarikat konsesi dan kontraktor yang dilantik adalah memuaskan, namun pemantauan berterusan tetap dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Walaupun memuaskan, tahun lalu lebih 2,000 Non-Compliance Report (NCR) dikeluarkan kerana kerja-kerja yang tidak menepati skop.

“Semua NCR itu berjaya ditutup selepas tindakan pembaikan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Shahelmey berkata, antara cabaran utama penyelenggaraan termasuk keadaan jalan sudah melebihi tempoh hayat reka bentuk, ditambah dengan peningkatan aktiviti ekonomi, aliran trafik, lebihan muatan dan faktor cuaca.

“Untuk jalan seperti ini, kerja-kerja ‘patching’ sahaja tidak mencukupi. Penyelesaiannya adalah ‘resurfacing’ atau kerja rehabilitasi penuh,” jelas Shahelmey.

Menurutnya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM285 juta bagi kerja-kerja rehabilitasi empat jalan utama menggunakan kaedah Cold In-Place Pavement Recycling (CIPR), iaitu Jalan Nangoh-Paitan-Kanibongan, Jalan Kanibongan, Jalan Langkon-Pitas dan Jalan Sapulut-Kalabakan.

“Projek ini bermula Mac 2025 dan dijangka siap pada Ogos 2026. Secara keseluruhan, kerja penyelenggaraan jalan di Sabah dikendalikan beberapa syarikat konsesi dan kontraktor dilantik Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Antaranya ialah satu syarikat konsesi bagi jalan Persekutuan yang dilantik semula untuk tempoh 10 tahun sehingga Ogos 2028, serta satu lagi syarikat untuk jalan Negeri berturap di bawah JKR Sabah sehingga Ogos 2034,” kata Shahelmy.

Selain itu, tiga syarikat menyelenggara jalan luar bandar berturap dan 32 syarikat mengurus jalan tidak berturap.

“Bagi jalan-jalan milik pihak berkuasa tempatan, satu syarikat konsesi telah dilantik dengan pemantauan oleh Kementerian Kewangan Negeri Sabah dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan,” katanya.

Tambahnya, satu lagi syarikat khas telah dilantik untuk melaksanakan kerja menaiktaraf jalan tanah dan kelikir kepada jalan beraspal di seluruh negeri.

“Kita juga telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan agar peruntukan penyelenggaraan dan penaiktarafan jalan-jalan Persekutuan yang telah melepasi jangka hayat ditambah,” ujar beliau.

Shahelmey memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus komited dalam memastikan infrastruktur jalan raya di Sabah berada dalam keadaan baik demi menjamin keselamatan pengguna dan menyokong pembangunan ekonomi negeri.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|