Peranan belia pastikan Sabah maju, capai kecemerlangan: Hajiji

Peranan belia pastikan Sabah maju, capai kecemerlangan: Hajiji

KOTA KINABALU: Anak-anak muda dan belia negeri ini memainkan peranan yang amat penting untuk memastikan Sabah terus berkembang maju dan mencapai kecemerlangan yang setanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.


Katanya, Sabah kini berada di ambang sebuah transformasi besar dan kerajaan negeri sedang bekerja keras untuk memastikan negeri ini akan mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang, baik ekonomi, sosial, pendidikan, dan pembangunan infrastruktur.


“Untuk mencapai matlamat Sabah Maju Jaya, kita memerlukan tenaga, idea, dan semangat daripada golongan muda. Saya berharap agar anak-anak muda terus memberi sokongan penuh kepada agenda kerajaan dalam memastikan Sabah menjadi negeri yang maju, sejahtera, dan berdaya saing.


“Saya yakin bahawa anak-anak muda dan belia negeri ini selaku harapan masa depan Sabah adalah pemimpin yang tidak hanya cerdas, tetapi juga berkarakter dan berintegriti”, katanya pada majlis perasmian Program Perintis Muda Di Hati Ketua Menteri Sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Tahun 2025 Peringkat Negeri di Dewan Al-Bukhari Ujana Sarjana, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah pada Rabu.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan, Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.


Justeru katanya, dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0, Kerajaan negeri memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan sebagai aset dalam membina masa depan negeri dan negara, agar sentiasa kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti.


Hajiji berkata, kerajaan negeri Sabah terus komited menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan kepada anak-anak Sabah kerana pentingnya pendidikan dalam membentuk masa depan belia.


Katanya, pada tahun ini Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM75.5 juta untuk melaksanakan 13 inisiatif bantuan pendidikan yang menyeluruh, antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI),Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA), Subsidi Tiket Penerbangan (GRS-SUBFLY) dan Bantuan Ihsan Komputer (BAIK).

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|