Pengakuan tidak bersalah di mahkamah ‘bukti”Albert berbohong: PERSANTUN

Pengakuan tidak bersalah di mahkamah ‘bukti”Albert berbohong: PERSANTUN

KOTA KINABALU: Sudah terang lagi bersuluh, kenyataan Datuk Albert Tei di Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini diibaratkan meludah ke langit apabila beliau membuat pengakuan tidak bersalah ketika membalas pertuduhan pendakwa.

Presiden Persatuan Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah berkata, ini secara tidak langsung memberi persepsi bahawa pengakuan terbabit sekaligus membawa tafsiran kes berkenaan bukannya sogokan yang mana sebelumnya dicanang seluruh negara.

Jelasnya, ia berbeza dengan laporan-laporan yang dikemukakan ahli perniagaan terbabit terutamanya di portal Malaysia Kini dengan mendakwa bahawa beliau seorang pemberi maklumat dan ada memberikan sogokan wang kepada wakil-wakil rakyat di Sabah.

“Ketika dibacakan pertuduhan di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pagi tadi, kenapa beliau yang sebelum ini berseloroh mengatakan ADUN-ADUN kerajaan Sabah menerima suapan, sogokan wang atas urusan lesen mineral sudah bertukar nada dengan beliau mengaku tidak bersalah?

“Bukankah beliau secara tidak langsung sebelum ini mendakwa beliau yang berperanan sebagai pemberi maklumat dan berurusan memberi wang kepada mereka sehingga keluar video-video tersebut akan tetapi apabila di mahkamah tidak berani mengaku pula.

“Inilah membuktikan beliau ini tidak telus dan penuh konspirasi tertentu sehingga menganggu pentadbiran kerajaan serta menimbulkan persepsi negatif…bagaimana kita mahu percaya lagi dengan cakap-cakap beliau?, “katanya.

Terdahulu, dalam pendakwaan kes melibatkan dua ADUN kerajaan, Datuk Dr Yusof Yacob dan Datuk Andi Surady Bandy di mahkamah hari ini menyaksikan perkembangan isu rasuah melibatkan lesen cari gali mineral di negeri ini.

Keseluruhan wang sogokan terbabit berjumlah RM350,000.

Andi dan Dr Yusof berhadapan dengan tuduhan mengikut Seksyen 16A(a) Akta 2009 SPRM manakala Albert berhadapan dua tuduhan atas memberi sogokan mengikut Seksyen 16b(A) Akta 2009 SPRM.

Mengulas mengenai kenyataan Albert ketika di temui pengamal media di mahkamah pagi tadi, Najib Tay turut mempersoalkan dakwaan beliau mengaitkan nama Ketua Menteri terhadap ketelusan siasatan kes berkenaan.

Ahli perniagaan itu terdahulu mendedahkan dan mempersoalkan pihak berkuasa dengan mengibaratkan beliau dan dua ADUN yang didakwa hari ini hanyalah sebagai ikan bilis, manakala mereka yang lain termasuk Datuk Seri Hajiji Noor diistilahkannya sebagai ikan jerung pula masih terlepas.

“Sudahlah biadap dengan pemimpin kita dengan sesuka hati memberi istilah sedemikian malah tanpa segan silu kenyataannya seolah mencabar pula keibawaan pihak berkuasa menjalankan siasatan kes itu.

“Ini menunjukkan beliau sangat terdesak mengaitkan nama baik Ketua Menteri yang mana sebelumnya secara konsisten berkerjasama dengan pihak SPRM dan menghormati siasatan undang-undang merujuk kepada kes tersebut.

“Saya berharap dengan perihal berlaku pada hari ini telah membuka pekung beliau (Albert) yang ternyata suka berbohong dan sesuka hati memetik nama Ketua Menteri sedangkan dalam kejadian di mahkamah, tidak mengaku perbuatannya sebelum ini, “katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|