SANDAKAN: Usaha mencegah banjir di Kampung Contoh Batu 16 mendapat perhatian apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam turun padang mengetuai program gotong-royong membersihkan dan membesarkan sistem saliran di kawasan berkenaan pada Ahad.
Program yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu disertai penduduk setempat bersama Ahli Jawatankuasa Pusat Khidmat ADUN Dilantik serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) PPR Gum-Gum.
Kerja-kerja pembersihan dijalankan secara menyeluruh melibatkan parit yang tersumbat, manakala kerja pembesaran dilaksanakan menggunakan jentera berat jenis Case bagi melancarkan aliran air ke kawasan tadahan.
Menurut Jaffari, langkah proaktif itu diambil berikutan kejadian banjir yang pernah menenggelamkan kampung terbabit sebelum ini.
“Parit yang sempit dan tersumbat menjadi punca utama limpahan air ketika hujan lebat. Dengan usaha gotong-royong ini, kita harap dapat kurangkan risiko banjir yang sering menghantui penduduk,” katanya ketika ditemui di lokasi program.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berganding bahu menjayakan program berkenaan dan menyeru penduduk agar terus memelihara kebersihan kawasan sekitar bagi memastikan sistem saliran sentiasa berfungsi dengan baik.
“Semangat kerjasama yang ditunjukkan amat membanggakan. Ini bukti bahawa apabila semua pihak berganding bahu, banyak perkara boleh diselesaikan demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Jaffari berkata, program itu juga sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya dalam menyantuni keperluan rakyat serta memastikan isu infrastruktur asas di kawasan luar bandar diberi keutamaan.
Deasoka