KOTA KINABALU: Keindahan flora dan fauna serta kepelbagaian etnik dan budaya Sabah perlu diterokai sepenuhnya oleh penulis dan pejuang sastera khususnya untuk menghasilkan karya bermutu tinggi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang sentiasa menyokong usaha Dewan Bahasa danPustaka (DBP) serta penulis dalam memperluas kegiatan sastera dan budaya membacadi negeri ini.
“Sabah bukan sahaja kaya dengan keindahan flora dan faunanya, tetapi juga kayadengan kepelbagaian etnik dan budaya. Kepelbagaian yang memberikan keunikan dan keunggulan kepada citra negeri Sabah ini, wajar dilestarikan sama ada dalam bentuk penerbitan buku atau majlis-majlis ilmu seperti bicara karya serta seminar sastera.
“Khazanah unik dan istimewa, cerminan kebijaksanaan masyarakat kita wajar kita tulisdan sebarkan. Kita sebagai pemilik khazanah ini harus mengambil tanggungjawab merakamkannya dalam pelbagai bentuk sebaran ilmu sebagai bacaan dan pengetahuan masyarakat.
“Sejarah Sabah kaya dengan naratif yang belum diterokai sepenuhnya, termasuklah berkaitan budaya dan perkembangan sosial ekonomi. Semua ini perlu di dokumentasikan sebelum hanya tinggal sejarah,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Buku Baharu Penulis SabahTerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2024/2025 dan Penyampaian Hadiah Sayembara Menulis Cerita Kanak-kanak Bergambar, di sini pada Selasa.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.Beliau turut berharap DBP Sabah khususnya akan terus komited memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan melalui penerbitan karya bermutu tinggi dalam pelbagai bidang ilmu sama ada bahasa, sastera, sains, kearifan tempatan dan agama.
“Justeru, saya berharap buku-buku yang dilancarkan pada hari ini, dapat dimanfaatkan oleh pelajar, penyelidik, guru, pensyarah, penulis dan masyarakat umum sebagai sumber rujukan.
“Buku yang dilancarkan pada hari ini membuktikan kesungguhan para penulis dan editor dalam usaha pemartabatan masyarakat MADANI melalui pembangunan dan tradisi budaya ilmu dalam kalangan masyarakat. Usaha ini juga menzahirkan peranan DBPsebagai institusi yang kekal relevan dan berdaya saing dalam mendepani eraglobalisasi,” katanya
Ketua Menteri juga mencadangkan agar perpustakaan di seluruh negeri Sabah, jabatan jabatan kerajaan dan sektor swasta turut memperoleh buku-buku yang dilancarkan sebagai bahan koleksi dan rujukan awam di sudut bacaan dan perpustakaan masing-masing.
“Kaedah ini juga sebagai salah satu cara kita memberikan pengiktirafan kepada penulis yang diraikan hari ini dan menyebarluaskan karya mereka,”katanya sambil menambah turut berasa bangga kerana beberapa karya penulis Sabah turut mendapat pengiktirafan bukan sahaja di peringkat negeri, kebangsaan malah antarabangsa.
Sementara itu, sebanyak 24 buah buku dilancarkan sempena majlis berkenaan.
