Lebih 4,000 rumah SMJ telah dibina: Hajiji

Lebih 4,000 rumah SMJ telah dibina: Hajiji


PENAMPANG: Semua dasar dan program kerajaan yang sedang dirancang mestilah berorientasikan kemakmuran rakyat bagi memastikan semua peringkat rakyat mendapat manfaat daripada setiap pembangunan yang dilaksanakan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.


Seiring dengan komitmen itu katanya, kerajaan negeri terus memberi perhatian yang lebih menyeluruh terhadap rakyat untuk memiliki rumah yang selesa, untuk semua peringkat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.


Menurutnya, selain pembinaan projek perumahan kos rendah dan perumahan awam mampu milik, kerajaan juga meneruskan pembinaan Rumah Mesra SMJ yang telah dilancarkan pada tahun 2022. Setakat bulan Oktober 2024, sebanyak 4,482 buah Rumah SMJ telah dibina.


“Untuk tahun 2025 sebanyak RM250 juta iaitu peningkatan 100 peratus peruntukan bagi pembinaan sebanyak 3,000 unit Rumah SMJ di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri Sabah”, katanya pada Majlis Pelancaran Skim Rumah Rakyat Sabah (SRRS) di tapak projek, 360 Boulevard Bundusan pada Ahad.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Isnin Aliasnih.


Katanya, pembangunan hartanah merupakan pemacu utama bagi kesan gandaan ekonomi, selain dapat merangsang keseluruhan rantaian bekalan pasaran apabila proses perancangan, pembinaan, jualan, dan penghunian mencetuskan aktiviti ekonomi yang memberi kesan kepada sektor-sektor seperti pembinaan, kewangan, peruncitan, pengangkutan, dan teknologi.


Hajiji berkata, pelancaran rasmi SRRS membuka satu lagi lembaran baru dan penting dalam usaha kerajaan negeri untuk menjana pembangunan ekonomi negeri, selain untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat di negeri ini.


Katanya, SRRS adalah sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan setiap rakyat di negeri ini memiliki rumah sendiri, disebabkan peningkatan kos sara hidup, rakyat berdepan dengan pelbagai cabaran dan kesukaran untuk memiliki rumah sendiri khususnya di kawasan bandar utama seperti Kota Kinabalu.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|