Kursus Asas Barista cungkil potensi belia pedalaman

Kursus Asas Barista cungkil potensi belia pedalaman

KENINGAU: Seramai 25 belia tempatan berjaya menamatkan Kursus Asas Barista anjuran Kementerian Belia dan Sukan Negeri (KBS) yang berlangsung selama tiga hari di Pexoholic Event Space di sini.

Program yang diadakan dari 2 hingga 4 Jun itu bertujuan memperkenalkan kemahiran asas dalam bidang barista kepada golongan belia sebagai satu alternatif kerjaya dan peluang keusahawanan dalam industri makanan dan minuman (F&B).

Sepanjang kursus itu, para peserta diberi pendedahan tentang teknik penyediaan pelbagai jenis minuman berasaskan kopi serta aspek perkhidmatan pelanggan – kemahiran penting dalam membina kerjaya sebagai barista profesional.

Majlis penyampaian sijil tamat kursus telah disempurnakan oleh Penasihat Kehormat Kelab Belia Keningau, Rafie Robert. Turut hadir, Pegawai Pengelola Belia dan Sukan Bahagian Pedalaman Atas, Mohd Azmi Mohd Topik.

Rafie dalam ucapannya menekankan pentingnya belia memanfaatkan peluang latihan seperti ini untuk memperbaiki taraf hidup melalui ilmu dan kemahiran.

“Ilmu yang diperoleh ini bukan sahaja membina kerjaya, malah mampu menjadi batu loncatan untuk menceburi bidang keusahawanan.

“Saya berharap para peserta tidak berhenti setakat ini, tetapi terus berusaha menambah ilmu dan membina jaringan perniagaan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KBS Sabah atas penganjuran program yang memberi impak positif kepada pembangunan belia di kawasan pedalaman.

“Kursus ini diharap menjadi pemula kepada lebih banyak inisiatif latihan kemahiran yang disesuaikan dengan keperluan industri semasa, sekali gus membantu melahirkan belia yang berdaya saing dan berdikari”, tambahnya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|