
KOTA KINABALU : Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) akan mengajak seluruh masyarakat untuk hadir ke program Kota Sufi Se-Nusantara 3.0 pada 22 hingga 24 Ogos ini di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
Antara tarikan utama ialah pameran tokoh ulama serta pendakwah Sabah selain pameran istimewa Manuskrip Lipatan berusia lebih 650 tahun, yang dipercayai hasil tulisan tangan Syarif Aulia Karim Makhdum, seorang tokoh sufi yang dikaitkan dengan penyebaran awal Islam di Sabah pada abad ke-15.
Pengerusi PAKAS, Kefayatullah Malik Aman berkata, manuskrip berkenaan mengandungi catatan ilmu tauhid, tasawuf, Sifat 20, Nafi Isbat serta amalan kerohanian yang menjadi bukti perkembangan awal dakwah Islam di negeri ini.
“Pameran ini menghubungkan kita dengan warisan dakwah dan perjuangan tokoh ulama terdahulu. Ia juga peluang kepada masyarakat untuk mengenali sejarah Islam di Sabah secara lebih dekat,” katanya.
Program berkenaan dijangka menarik ribuan pengunjung dari seluruh Sabah dan Nusantara dengan pelbagai pengisian rohani, ilmiah dan pameran sejarah Islam.
.