Isteri KM seri Majlis Anugerah Gemilang Madani 2025

Isteri KM seri Majlis Anugerah Gemilang Madani 2025

KOTA KINABALU: Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag, menyerikan Majlis Anugerah Gemilang Madani 2025 dengan menyampaikan beberapa anugerah tertinggi kepada tokoh-tokoh wanita dan individu berprestij dari dalam dan luar negara.

Majlis penuh gemilang yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) pada malam Khamis itu, dianjurkan oleh Biro Pembangunan Ekonomi dan Usahawanita PRESBAH dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Antara anugerah yang disampaikan beliau termasuklah Anugerah Wanita Perdana Gemilang Madani 2025, Anugerah Cemerlang Antarabangsa Gemilang Madani 2025 dan Anugerah Tokoh Wanita Gemilang Madani 2025, yang diberikan kepada wanita berwibawa dan pemimpin masyarakat atas sumbangan luar biasa mereka dalam pelbagai bidang.

Selain itu, Juliah turut menyampaikan cenderahati khas sebagai tanda penghargaan kepada Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia, Hanifah Hajar Taib, yang hadir merasmikan majlis itu dan kepada Pengerusi Biro Pembangunan Ekonomi dan Usahawanita PRESBAH, Dato Paduka Rehan Binti Rahim, selaku penganjur program itu.

Majlis itu turut menyaksikan simbolik perasmian oleh ketiga-tiga tokoh wanita tersebut, disusuli dengan penyampaian pelbagai kategori anugerah termasuk Anugerah Keterampilan, Usahawan Harapan, Inovasi Teknologi, Seni Budaya serta penghargaan kepada agensi-agensi kerajaan dan swasta atas sumbangan mereka terhadap pembangunan masyarakat.

Suasana majlis turut dimeriahkan dengan persembahan khas oleh penyanyi tersohor tanah air, Datuk Khatijah Ibrahim, persembahan kebudayaan, silat serta kehadiran barisan pemenang Ratu Cantik yang mengarak masuk trofi Anugerah Gemilang Madani 2025.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|