GRS terus bukti kemampuan: Aksyah

GRS terus bukti kemampuan: Aksyah

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disifatkan bukan sahaja berjaya merintis pelbagai inisiatif pembangunan, tetapi turut membuktikan kemampuannya menyelesaikan masalah asas rakyat secara berperingkat dan berkesan.

Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Nasrah berkata, kenyataan kesiapsiagaan jentera pilihan raya oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor jelas mencerminkan tahap keyakinan tinggi hasil daripada pencapaian sebenar kerajaan negeri.

“Keyakinan itu bukan bersandarkan retorik, tetapi bersandarkan kepada kejayaan pelaksanaan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang merangkumi pembangunan fizikal dan bukan fizikal yang benar-benar menyentuh keperluan rakyat.

“GRS-PH Plus telah membuktikan keupayaan sebagai kerajaan yang bukan sekadar perancang, malah pelaksana dan penyelesai kepada pelbagai isu negeri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, pembangunan infrastruktur yang menjadi tumpuan seperti jejambat Benoni, Lebuhraya Pan Borneo dan pelaksanaan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) kini telah mula beroperasi, sekali gus menjawab persoalan rakyat mengenai komitmen kerajaan dalam isu-isu utama.

Dalam isu bekalan air pula, katanya, sebanyak sembilan projek Loji Rawatan Air (LRA) telah berjaya disiapkan manakala lima lagi dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

“Ini adalah bukti bahawa kerajaan negeri bertindak dan tidak sekadar berjanji. Masalah air dan elektrik yang membelenggu rakyat sejak sekian lama sedang diselesaikan satu demi satu,” ujarnya.

Katanya,  pelaksanaan pelbagai program kebajikan seperti SYUKUR, BUDI, AKSA dan Insurans Rakyat pula merupakan bukti keprihatinan kerajaan terhadap rakyat dari segi kesejahteraan sosial.

“Program ini adalah hasil cetusan idea Datuk Seri Panglima Hajiji sendiri. Ia dirangka untuk memberi manfaat langsung kepada rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang.

“Inilah bukti kerajaan ini bukan hanya fokus kepada pembangunan fizikal, tetapi juga menyelami keperluan rakyat secara menyeluruh,” katanya.

Aksyah juga memuji pencapaian kerajaan dalam meningkatkan hasil negeri secara konsisten saban tahun, sesuatu yang menurutnya belum pernah dicapai oleh mana-mana pentadbiran sebelumnya.

“Peningkatan hasil negeri adalah indikator paling kukuh yang membuktikan pentadbiran GRS-PH Plus adalah efisien, stabil dan berwibawa. Ini rekod terbaik Sabah setakat ini,” katanya.

Beliau turut menyelar pihak pembangkang yang cuba memainkan persepsi negatif kononnya kerajaan telah gagal mentadbir negeri.

“Ini hanya taktik pembangkang untuk mengaburi mata rakyat. Mereka tidak mampu menandingi rekod prestasi GRS, jadi mereka cipta naratif untuk melemahkan keyakinan rakyat.

“Rakyat perlu menilai berdasarkan fakta, bukan persepsi politik murahan,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera parti dan rakyat Sabah agar terus memperkukuh sokongan terhadap GRS demi kesinambungan pembangunan dan kestabilan negeri.

“Menukar kerajaan hanya akan mewujudkan ketidaktentuan politik dan menjejaskan halatuju pembangunan negeri yang sedang menunjukkan hasil positif.

“GRS-PH Plus telah membuktikan gabungan ini bukan sahaja pencetus kepada perubahan, tetapi juga penyelesai masalah rakyat Sabah,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|