RANAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengulangi sekali lagi keyakinan bahawa pihaknya, GRS-PH Plus mampu memerintah negeri ini sekali lagi selepas pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, meskipun terdapat cakap-cakap kosong daripada pihak lawan yang memperlekeh keazaman GRS, baginya itu hanya permainan politik mereka.
“Saya pun tidak faham, kita cakap bagus mereka cakap lain. Kalau kita cakap bahawa pencapaian kerajaan hari ini begitu baik dan kita perlu diberi mandat sekali lagi pada pilihan raya nanti.
“Kita cakap itu kerana kita yakin kita boleh memerintah Sabah sekali lagi selepas PRN nanti. Kita bukan lemah, ada yang cakap kita gagal tetapi kerajaan ini tidak gagal, sebaliknya yang gagal itu ialah mereka itulah yang disebut pencacai-pencacai itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Sayangi Sabah Zon 4 Ranau anjuran GRS di Pentas Budaya Pekan Kundasang, di sini, semalam.
Hajiji merupakan Pengerusi GRS berkata, rakyat tidak boleh tersalah pilih pada pilihan raya nanti bagi memastikan apa yang pernah berlaku dalam sejarah politik negeri ini tidak berulang.
“Kita kena belajar sejarah politik kita yang lalu, kita mesti bersatu, jangan ada di Ranau ini taja-menaja, saya tidak mahu dengar itu, kalau dia dari GRS taja orang, kita tidak akan terima itu. Saya ingin menegaskan selaku Pengerusi GRS ini tidak boleh berlaku.
“Kita mesti bijak dalam berpolitik, cukuplah kita digaduh-gaduhkkan, dipecah-pecahkan sebelum ini, jangan kita lepaskan peluang kali ini,” jelas Hajiji.
Menurutnya, beliau melihat banyak parti sekarang memperlihatkan perpaduan sekali gus membuktikan GRS adalah pilihan rakyat di Sabah.
“PRN17 adalah peluang terbaik untuk menunjukkan GRS selaku gabungan parti tempatan adalah pilihan yang tepat untuk rakyat Sabah.
“Kita tonjolkan GRS bukan sembarangan, kita sudah memerintah empat tahun, banyak kejayaan kita capai apabila kita memerintah Sabah,” kata Hajiji.
Beliau berkata kononnya ada di luar sana bercakap bermacam-macam mengenai GRS berikutan mereka tidak melihat apa kejayaan dilakukan GRS.
“Ada lagi pemimpin datang kononnya mahu kasih bagus Sabah, saya tidak tahu dari mana, tapi apa mereka tahu, datang dari luar ke sini, temberang saja.
“Kita yakin tiga kerusi DUN di kawasan Parlimen Ranau akan mampu dipertahankan di bawah GRS pada pilihan raya nanti,” katanya.
Deasoka